25 November 2010

Doktor tewaskan penyamun


KUALA LUMPUR – Seorang doktor di sebuah klinik di Danau Kota, Setapak di sini menjadi hero apabila dia berjaya mematahkan cubaan merompak oleh dua lelaki di klinik tempatnya bertugas.

Malah dalam kejadian pada pukul 8.45 malam kelmarin itu, Dr. Mohd. Harriszamani Abu Bakar, 32, juga berjaya merampas beg galas salah seorang penjenayah itu.

Semasa kejadian mencemaskan kira-kira 10 minit itu, kedua-dua suspek tersebut bersenjatakan pisau rambo dan sebilah parang.

Di dalam beg galas tersebut mengandungi kad pengenalan salah seorang suspek itu dan wang tunai sebanyak RM5.

Turut ditemui borang permohonan nikah dan kad pengenalan seorang wanita dipercayai milik tunang suspek.

Sebelum kejadian, suspek yang berusia 26 tahun itu masuk ke klinik tersebut dan berpura-pura mendaftar sebagai pesakit dengan menggunakan nombor kad pengenalan palsu.

Suspek yang memakai baju mempunyai logo sebuah restoran makanan segera itu mendakwa dia sakit tekak selain mata merah.

Mohd. Harriszamani berkata, selepas mendapat rawatan, suspek yang memakai baju T dan seluar jean itu keluar dari bilik pemeriksaan untuk mengambil ubat.

“Selepas suspek keluar, seorang lagi pesakit lelaki yang berusia 29 tahun masuk ke dalam bilik pemeriksaan.

“Ketika pesakit saya masuk, tiba-tiba ada dua lelaki termasuk ‘pesakit’ yang mengadu sakit tekak sebelum itu menceroboh bilik pemeriksaan,” kata beliau kepada Kosmo! semalam. - Kosmo

No comments:

Post a Comment