KUALA LUMPUR 21 April - Kerajaan hari ini menarik balik Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lepas bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima maklumbalas daripada Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan tersebut.
Tiga fasal yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran.
Fasal 22, bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun dan Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Mohamed Nazri berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan semula untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual Jun ini.
"Selepas berunding dengan pihak dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Whip (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka kita buat keputusan untuk menarik balik pindaan ini dan akan dibawa balik dalam persidangan akan datang,” katanya. - Bernama
* Banyak cara lain boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya antaranya adalah memperbanyakkan kereta-kereta peronda polis yang mengawal daan membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah. Ia amat berkesan dan telah lama diamalkan di negara yang maju...
No comments:
Post a Comment