KLANG 21 April - Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini menetapkan 28 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan permohonan cerai secara fasakh yang difailkan oleh Ramizah Mazlan, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.
Hakim Syarie Abdul Malik Soleh menetapkan tarikh itu setelah diminta oleh peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Ramizah.
Ahmad Nazib berkata, pembelaan terhadap tuntutan fasakh oleh Badrul, 50, yang difailkan di mahkamah pada 15 April dan diterima pihaknya pada 19 April lepas tidak menjawab tuntutan fasakh yang dikemukakan oleh Ramizah, 39.
Oleh itu, beliau berkata, pihak plaintif tidak perlu menjawab jawapan yang diberikan oleh Badrul dan terus memohon satu tarikh perbicaraan.
Abdul Malik mengesyorkan kepada Badrul supaya beliau mengambil khidmat peguam bela dalam perbicaraan itu tetapi defendan memilih untuk membela dirinya sendiri di dalam perbicaraan itu nanti.
Badrul berkata: “Ini kisah suami isteri saya tidak perlu peguam. Pada pandangan saya ini adalah terlalu peribadi”.
Bagaimanapun, Abdul Malik berkata, biarpun Badrul merasakan beliau di pihak yang benar tetapi jika beliau tidak mampu menyampaikan kebenaran itu dengan sebaik mungkin adalah sukar baginya membuktikan kebenaran itu.
Pada prosiding hari ini Badrul datang tanpa peguam manakala Ramizah tidak hadir dan diwakili oleh Ahmad Nazib.
Badrul dan Ramizah bernikah pada 31 Julai 1993 dan mereka dikurniakan lima cahaya mata.
Badrul yang dahulunya ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) selepas beliau keluar daripada parti itu pada 29 Oktober tahun lepas. - Bernama
* Makhluk bermasalah betul dia ni...
No comments:
Post a Comment