02 April 2010

Ringgit kekal teguh

KUALA LUMPUR 1 April - Ringgit kukuh semasa ditutup hari ini dengan mencatatkan paras terkukuh dalam masa 20 bulan berbanding dolar AS dengan pertumbuhan ekonomi Asia menunjukkan petunjuk positif, kata para peniaga.

Pada pukul 5 petang, ringgit teguh berbanding dolar AS pada 3.2560/2590 berbanding 3.2600/2650 semasa ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata petunjuk pertumbuhan ekonomi di China, Jepun dan Korea Selatan menambah tinjauan yang memberangsangkan kepada aktiviti perdagangan di Asia di samping merangsang permintaan untuk aset serantau.

Pembuatan China juga berkembang pada kadar yang pantas manakala eksport Korea Selatan meningkat lebih cepat daripada yang dijangka.

"Kenaikan yuan China juga memberi faedah kepada ringgit," jelas seorang peniaga.Ringgit juga naik mendahului pengumuman angka eksport Malaysia bagi Februari yang akan dikeluarkan esok yang diunjurkan meningkat.

Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit didagangkan bercampur-campur.Ringgit mengalami perubahan kecil berbanding dolar Singapura pada 2.3274/3314 daripada 2.3274/3333 semalam dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.4842/4882 daripada 3.4979/5036 sebelumnya.

Bagaimanapun ia susut berbanding euro kepada 4.3940/3990 daripada 4.3840/3918 dan juga turun berbanding pound sterling kepada 4.9563/9618 daripada 4.9376/9461 semalam.

- Bernama

No comments:

Post a Comment