KUANTAN, 2 April — Keluarga bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno mengenakan 11 syarat kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah bagi menjaga keselesaan dan keselamatan sepanjang menjalani hukuman kerja-kerja khidmat sosial yang bermula hari ini.
Dia akan menjalankan hukuman tersebut selama tiga minggu sebagai gantian kepada enam sebatan atas kesalahan minum arak di khalayak ramai.
Menurut bapanya, Shukarno Abdul Mutalib, langkah itu diambil atas nasibat peguam supaya demi menjaga keselesaan dan keselamatan Kartika.
“Kita telah mengenakan 11 syarat kepada Jaip dan pihak pengurusan rumah perlindungan kanak-kanak ini supaya dapat menjaga serta menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang Kartika berada dibawah pengawasan mereka.
“Ini kerana kita bimbang sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas anak saya. Jadi atas nasihat peguam adalah lebih baik jika kami mengenakan syarat tersebut,” kata beliau ketika ditemui selepas menyerahkan Kartika kepada Jaip.
11 syarat tersebut adalah:
1. Kartika akan ditempatkan di sebuah rumah tetamu dan tidak dikenakan sebarang bayaran sepanjang berada di sana
2. Pihak pengurusan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah akan menyediakan makanan sepanjang Kartika menjalani hukuman pada waktu pejabat dari pukul 8 hingga 5 petang
3. Jaip bersetuju menyediakan sarapan dan makan malam sepanjang tempoh hukuman dijalankan
4. Kartika hanya akan menerima pelawat dari kalangan peguam, keluarga terdekat dan pegawai Jaip
5. Sekiranya ada pihak lain yang ingin berjumpa dengan Kartika, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam
6. Jaip setuju untuk menyediakan seorang ustazah supaya dapat memberi didikan agama kepada Kartika
7. Keperluan seharian disediakan pengurusan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah
8. Kartika dibenarkan membawa anak-anak pada hari tertentu dengan ditemani keluarga
9. Sekiranya berlaku apa-apa kecemasan kepada keluarga, Kartika dibenarkan pulang ke Kampung Jawang, Perak
10. Segala tanggungjawab dan keselamatan selama tempoh hukuman adalah tanggungjawab besar pengurusan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah dan Jaip, dan
11. Sekiranya berlaku kecemasan, kecederaan ataupun kemalangan terhadap Kartika, mesti memaklumkan kepada keluarga dengan kadar segera.
Shukarno berkata, pihak Jaip dan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah tidak membantah dengan syarat-syarat yang dikenakan.
“Saya lihat kedua-dua pihak tidak membantah syarat-syarat ini dan mereka sudah menandatangani surat perjanjian ini.
“Syarat-syarat ini hanya untuk memastikan kelancaran dan keselamatan Kartika sepanjang berada di sana,” katanya. - TheMalaysianInsider
* Pesalah minum arak atau diva?
No comments:
Post a Comment