HULU SELANGOR, 23 April — Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan mengejut dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor malam tadi, walaupun minggu lalu mengatakan tidak akan berkempen di sini, mengibaratkan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim sebagai “katak.”
“Dulu dia dalam Umno jadi menteri, lepas itu dia melompat ke pembangkang... kaki belakang dia cukup kuat kerana sekarang dia dapat jadi calon pembangkang.
“Kita tak sepatutnya pilih atau percaya orang yang suka melompat macam ini. Nasihat saya jangan pilih orang macam itu,” kata bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) ini.
“Nanti dia mabuk entah apa yang dibuatnya. Dia tak berjudi tapi ada kuda lumba. Saya pun ada kuda 30 ekor tapi bukan kuda lumba. Dia mengakui ada kuda lumba tapi dia kata dia tak berjudi, saya tak faham ni,” kata Dr Mahathir (gambar) lagi.
Beliau berceramah untuk membantu BN di Serendah di sini malam tadi.
Kata Dr Mahathir, calon BN P. Kamalanathan, yang turut hadir pada ceramah tersebut pula merupakan calon yang bersih, fasih berbahasa Malaysia dan faham akan kehendak rakyat.
“Tak susah, cuma pangkah sahaja, pangkahlah calon BN.
“Jangan fikir panjang, tak ada yang lebih baik dari BN untuk memerintah negara ini,” katanya.
Beliau juga yakin tampuk pemerintahan negara akan dapat mengembalikan kegemilangan BN seperti yang dikecapi sebelum pilhan raya umum 2008.
Bercakap pada sidang media selepas ceramah tersebut yang dihadiri lebih 500 orang, Dr Mahathir berkata beliau tidak ingin orang tahu yang beliau akan berkempen di Hulu Selangor.
“Sebab itu bila orang tanya saya, saya cakap saya tak pergi berkempen, tetapi sebagai penyokong setia BN saya membuat keputusan untuk datang juga,” katanya.
Pada 16 April lalu, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan turut serta dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor walaupun namanya sering ditimbulkan dalam ceramah oleh kedua-dua pihak yang bertanding.
“Saya tidak akan pergi berkempen, tapi jika ada pihak yang hendak gunakan nama saya untuk menang atau kalah pada pilihan raya kecil nanti, itu terserah kepada mereka, saya tak kisah,” katanya.
Dr Mahathir pernah berkempen untuk calon BN pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah yang diadakan pada hari yang sama April 2009.
Kedua-dua kerusi itu dimenangi calon Pakatan Rakyat.
Pengundian berlangsung Ahad ini.
Dalam ucapannya malam tadi juga Dr Mahathir meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya memilih BN.
Bekas perdana menteri itu berkata ini adalah kerana terbukti BN mampu membawa pembangunan dan perubahan ke kawasan mereka dan seterusnya memantapkan lagi taraf hidup rakyat di sini.
“Negara kita aman dan tenang, walaupun kita telah mencapai banyak kemajuan di kawasan bandar, banyak lagi yang perlu dilakukan di kawasan luar bandar, “ katanya.
Beliau berkata negara telah mencapai kemajuan kerana pemerintahan BN, kerana pemimpin perikatan tersebut bekerja untuk kemajuan negara dan bukan untuk kepentingan individu.
“Bila kita majukan negara semua mendapat faedah dan ini terbukti hanya boleh dilakukan oleh BN,” katanya. - TheMalaysiaInsider
* Mahathir ada kuda, cuma kuda dia tidak dibuat lumba kuda. Anak Mahathir ada saham arak, cuma...Najib lulus 10 lesen judi cuma...
No comments:
Post a Comment