03 April 2010

BN Akan Lebih Ofensif Di Hulu Selangor - Noh

HULU SELANGOR, 2 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan lebih "ofensif" (menyerang) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata ini kerana parti itu mempunyai banyak "modal" untuk menyerang pakatan pembangkang yang kini memerintah Selangor.

"Dalam kempen (pilihan raya kecil) sebelum ini kita selalunya defensif... kali ini kita akan lebih ofensif untuk pecahkan tembelang pembangkang. Ini perlu untuk dedahkan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengikuti majlis ramah mesra Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rakyat di Kampung Sentosa, Batang Kali di sini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mengulas mengenai isu yang menjadi taruhan pada pilihan raya kecil itu yang diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Ditanya pemberita apakah isu yang mungkin digunakan pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil itu, Noh berkata: "apa isu pembangkang ada selain timbulkan fitnah".

Mengenai polemik calon di kawasan itu antara MIC atau Umno, Noh berkata siapa saja yang dipilih akan disokong jentera parti bagi memastikan kemenangan BN.

Secara tradisi, kerusi parlimen Hulu Selangor diwakili calon daripada MIC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment