16 February 2010

Tindakan Malaysiakini tidak sepatutnya

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, portal berita propembangkang Malaysiakini bertindak secara tidak sepatutnya apabila menggugurkan perkataan tertentu yang disebut beliau ketika berucap pada Persidangan Agung Untuk Pembelaan Baitulmaqdis, bulan lalu.

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan tidak menyiarkan sepenuhnya ucapannya dalam laporan berita yang dimuatkan dalam portal itu pada 20 Januari lalu telah menyebabkan wujud tanggapan salah terhadap apa yang sebenarnya beliau perkatakan.

"Saya boleh memahami bahawa Malaysiakini tidak mahu dilabelkan sebagai antisemitik tetapi saya tidak fikir ia merupakan satu perkara yang sepatutnya untuk meninggalkan perkataan tertentu kerana ia akan memberikan tafsiran sangat berbeza terhadap apa yang saya cakapkan.

"Apa yang saya cakapkan ialah 'Orang Yahudi sentiasa menjadi masalah di negara-negara Eropah.'

"Kamu (Malaysiakini) meninggalkan perkataan 'di negara-negara Eropah' dan ini membayangkan bahawa apa yang saya cakap ialah orang Yahudi bukan sahaja menjadi masalah kepada orang-orang Eropah malah kepada semua pihak termasuk umat Islam," katanya dalam laman web http://chedet.co.cc.

Dr. Mahathir menegaskan, tafsiran salah yang timbul daripada laporan Malaysiakini itu adalah tidak benar kerana pada zaman dahulu orang Yahudi pernah mendapatkan perlindungan di negara-negara Islam termasuk di Afrika Utara dan yang diperintah oleh Empayar Ottoman.

"Ini berlaku kerana pada ketika itu, masyarakat Eropah mengurung dan secara berkala membunuh orang Yahudi beramai-ramai," katanya.

Beliau berkata, orang Yahudi tidak mungkin mendapatkan perlindungan jika orang Islam bersikap tidak mesra terhadap tetamu berbanding orang Eropah.

"Bahkan pada masa sekarang ada orang Yahudi yang hidup di negara-negara Islam termasuk di Iran. Hanya selepas Amerika Syarikat menyambut baik kedatangan orang Yahudi barulah mereka berhenti daripada berhijrah ke negara-negara Islam," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, sikap mesra negara-negara Islam telah dibayar oleh Zionis dengan merampas Palestin bagi mewujudkan negara Israel.

"Apa yang saya perkatakan boleh disahkan menerusi buku-buku sejarah Eropah dan jika orang Islam bersikap antagonis terhadap orang Yahudi sekarang, ia disebabkan cara (salah) mereka membayar terhadap sikap mesra yang telah ditunjukkan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment