16 February 2010

Orang ramai kecam perilaku zalim terhadap bayi

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Kejadian membuang bayi termasuk insiden terbaru bayi dibakar sehingga separuh tubuh rentung dalam tong sampah di Kuala Krai, Kelantan mendapat reaksi orang ramai yang cukup tersentuh dengan peristiwa tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di ibu negara hari ini menerima maklum balas yang senada, iaitu mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan zalim yang ternyata berlaku di luar batas kemanusiaan.

Pelukis Pelan, Zairul Ahmad, 39, berkata laporan berita tersebut begitu meruntun perasaannya apatah lagi mangsa cuma seorang bayi yang baru dilahirkan.

"Saya menganggap ini sebagai perbuatan manusia yang tidak bertamadun dan sukar diterima akal.

"Saya geram apabila membaca akhbar mengenai perkara itu dan sungguh terkejut," katanya.

Menurutnya, perbuatan seperti itu tidak dapat dimaafkan atas apa alasan sekalipun.

Bagi seorang suri rumah, Mariam Kachong, 65, dia berasa sebak apabila melihat keadaan mayat bayi malang itu yang disiarkan dalam akhbar semalam.

"Saya seorang ibu dan nenek, hati saya jadi hiba bila kejadian zalim itu dipaparkan.

''Namun, saya jadi sangat geram apabila fikir apakah yang ada dalam fikiran mereka ketika kekejaman itu dilakukan," katanya.

Seorang guru, Haminah Che Wel, 38, berkata, dia tidak percaya apabila melihat ada manusia di negara ini sanggup membakar bayi yang baru dilahirkan.

"Sedih, namun perkara itu telah berlaku. Apa yang penting ialah langkah pencegahan supaya kejadian menyayat hati seperti itu tidak disajikan lagi untuk tatapan kita," katanya.

Bagi pelayan restoran, R. Saraswathy, 22, beranggapan bahawa perbuatan itu sangat tidak wajar.

"Seorang bayi yang tak berdosa tidak sepatutnya menerima layanan kejam seperti itu. Apakah si pelaku tidak fikir, bayi sekecil itu tidak tahu apa-apa. Saya sedih baca surat khabar pasal kejadian itu.

''Jadi saya minta para gadis menjaga tingkah laku untuk mengelakkan kejadian hamil luar nikah yang menurutnya boleh mendorong kepada masalah pembuangan bayi,'' katanya.

Ahmad Nazri Abdul Razak, 27, yang juga seorang usahawan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berakal.

"Saya rasa orang sakit jiwa sahaja yang tergamak buat begitu. Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka," katanya.

Pengawal Keselamatan, Mohd. Syanizan Mad Zaini, 28, berkata pihak berkuasa harus serius menangani masalah tersebut sambil menyelar mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu. - Utusan

* Yang sepatutnya dikecam adalah kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh menghayati ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment