16 February 2010

Sikap kebudak-budakan

SHAH ALAM 15 Feb. – Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS) menyelar tindakan kerajaan negeri yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang menurunkan kain rentang sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kampung Baru Pandamaran, Klang, 20 Februari ini.

(Gambar:Kain rentang besar sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Baru Pandamaran, Klang pada 20 Februari sebelum diturunkan.)

Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana sambutan yang bakal diadakan itu sebenarnya akan memberi manfaat jangka panjang terhadap semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, perayaan Tahun Baru Cina tidak bermakna perayaan itu hanya untuk kaum Tionghua tetapi ia juga terbuka kepada semua kaum sama ada Melayu dan India untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut.

“Saya fikir, tindakan menurunkan kain rentang ini adalah satu bentuk pemikiran yang sempit dan sepatutnya tidak perlu diamalkan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri seharusnya mengambil kira kepentingan rakyat dari semua kaum khususnya masyarakat Cina dengan bersama-sama menyertai sambutan itu bukannya menghalang dengan menurunkan kain rentang yang khusus dibuat untuk mengajak semua masyarakat menghadiri sambutan itu.

“Malah, penganjuran sambutan Tahun Baru Cinaperingkat kebangsaan itu juga tidak harus dipolitikkan oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang hanya kerana kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menurunkan kain rentang sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Kampung Baru Pandamaran, Klang yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Tindakan MPK itu dibuat pada kira-kira pukul 2 pagi pada 13 Februari lalu.

Sambutan itu juga secara kebetulan diadakan serentak dengan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di Jenjarom, Banting, pada tarikh serta waktu yang sama.

Malah, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poo ketika ditemui hari ini menyatakan pihaknya difahamkan terdapat beberapa wakil pakatan pembangkang telah meninjau ke kawasan kain rentang berkenaan termasuklah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago serta Yang Dipertua Pas Klang, Ismail Arsat yang menunjukkan isyarat ‘tidak bagus’

Dalam pada itu, Mat Yasir turut memberitahu, beliau amat kesal sekiranya sambutan yang akan diadakan di Pandamaran itu cuba dipolitikkan oleh kerajaan negeri yang jelasnya hanya mendatangkan implikasi negatif kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Katanya, perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh di negara ini adalah sama seperti sambutan Aidilfitri dan Deepavali kerana semua kaum bersama-sama meraikan perayaan-perayaan tersebut.

“Kenapa kerajaan negeri mahu menyukarkan semangat perpaduan ini. Saya yakin semua orang khususnya masyarakat Cina di Pandamaran tidak akan menerima tindakan kerajaan negeri turunkan kain rentang untuk sambutan itu di kawasan mereka,” ujarnya. - Utusan

* Kerajaan negeri ikut undang-undang.

No comments:

Post a Comment