KUALA LUMPUR: Gara-gara dirempuh pemandu `iblis’ yang melanggarnya dari belakang sebelum melarikan diri, seorang gadis hanya mampu menangis sejak tujuh hari lalu selepas dimaklumkan doktor tangan kirinya terpaksa dipotong akibat kecederaan parah dialami.
Ong, 22, berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi Isnin lalu, dia yang bekerja sebagai kerani dalam perjalanan ke pejabatnya di Setiawangsa, di sini.
Menurutnya, dia yang tinggal di Setapak, menunggang motosikal bersendirian sebelum tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta ketika melalui Jalan Setiawangsa.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana saya tiba-tiba melayang sebelum jatuh terhumban ke atas jalan raya. Sejurus kemudian saya lihat sebuah kereta memecut laju dari tempat kejadian.
“Beberapa orang awam yang melihat kejadian itu segera memberi bantuan sebelum menghantar saya ke klinik berhampiran. Bagaimanapun, kecederaan serius dialami menyebabkan saya dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan seluruh tubuhnya cedera termasuk menerima enam jahitan di dahi.
“Namun, saya mula tidak sedap hati apabila tangan kiri tidak dapat digerakkan malah jari tangan gagal merasai apa-apa sentuhan.
“Persoalan saya terjawab apabila doktor memberitahu tulang tangan kiri saya patah di beberapa bahagian,” katanya.
Kemalangan itu mengakibatkan sel tangannya mati selain perjalanan darah ke bahagian itu terhenti sekali gus mengakibatkan tangannya cacat.
“Saya hanya mampu menangis apabila mengenangkan nasib malang itu. Sukar saya hendak gambarkan perasaan apabila diberitahu tangan kiri yang lumpuh itu terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan.
“Pihak hospital mengarahkan saya menandatangani dokumen kebenaran bagi membolehkan pembedahan memotong tangan kiri itu dilakukan. Namun sehingga kini, saya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mengizinkan ia dilakukan,” katanya bingung.
Menurutnya, kesan daripada kemalangan langgar lari itu turut menyebabkan kaki dan pahanya luka-luka selain muntah hampir setiap hari.
“Saya hilang selera makan dan hanya mampu terbaring lemah di katil hospital. Fikiran saya kini benar-benar bercelaru dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan bagi membolehkan semuanya kembali kepada sedia kala,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai kerani meminta orang ramai yang melihat kejadian terbabit menghubungi polis supaya individu yang bertanggungjawab melanggarnya dapat diheret ke muka pengadilan.
“Saya boleh memaafkan jika pemandu terbabit sudi berhenti membantu sejurus melanggar saya. Namun tindakannya memecut melarikan diri selepas menyedari saya terhumban ke atas jalan menunjukkan sikapnya sebenar,” katanya.
Sementara ahli keluarga mangsa yang ditemui di hospital berkata, mereka akan memberikan wang ganjaran kepada orang ramai yang dapat memberi maklumat sehingga suspek yang melanggar mangsa dapat diberkas. - Mymetro
No comments:
Post a Comment