KUALA LUMPUR: “Terkejut apabila diberitahu pekerja terdapat sekumpulan pelajar berkumpul di pejabat sedangkan perkara itu sudah diselesaikan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK), kolej terbabit sebelumnya,” kata Pengetua Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zulqarnain Mohamed.
Zulqarnain berkata, kenaikan RM210 itu berpunca daripada kesilapan teknikal apabila kerani akaun tersalah kiraan sesi pengajian iaitu 10 minggu sedangkan semester ini hanya terdapat tujuh minggu sesi saja.
“Pada 30 Disember lalu, Setiausaha JTK, Norfadila Ayub menemui saya memberitahu mengenai perkara itu dan sudah diberi penjelasan cuma notis pemberitahuan belum ditampal di sekitar kolej.
“Kebetulan keesokannya, saya bercuti kemudian diberitahu pekerja mengenai sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi bantahan kenaikan yuran sedangkan mereka bukan penghuni kolej itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Presiden kolej itu, Dzul Fahmie Abd Rahman, 21, berkata terdapat penghuni kolej mengadu mengenai kenaikan yuran kolej RM210 dan kemudian JTK mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu terbabit.
“Kos penginapan termasuk makanan dikenakan RM10 sehari dan sesi pengajian semester ini hanya 126 hari saja, jadi jumlah yuran yang sepatut dibayar RM1,260.
“Justeru, kami mengadakan perbincangan dengan pengetua, yang diwakili setiausaha JTK, malah diselesaikan pada malam itu juga,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment