KOTA BHARU 1 Jan. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri ini pada 1975 sebagai penyebab kerajaan negeri perlu membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd.
Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai 'sampah' yang dilakukan oleh kerajaan BN ketika itu dan kerajaan Pas hari ini yang perlu membersihkannya.
"Benda ini orang lain yang buat, sampah orang lain yang buang, kita kena sapu. Ini penyakit bagi jaga negeri kepada orang yang tidak pandai.
"Benda ini bila kita bagi jaga negeri atau Malaysia kepada orang tidak pandai akhirnya imej politik lebih jadi buruk, setengah tok guru tidak mahu ceburi politik kerana disangka buruk, politik itu yang buruk, tetapi politik saya comel, politik Nabi Muhammad, politik Nabi Muhammad yang pertama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Ibu Pejabat Pas Kelantan di sini hari ini.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. kerana melanggar kontrak.
Bagaimanapun pada sidang akhbar khas semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, pada 1975, kerajaan BN telah menamatkan perjanjian dengan Timbermine sehingga menyebabkan tindakan undang-undang diambil oleh syarikat itu.
Perjanjian di antara kerajaan negeri dengan Timbermine dibuat pada 1964 ketika pemerintahan Pas bagaimanapun pada 1975 ketika Pas menjadi parti komponen BN, kerajaan negeri ketika itu menamatkan perjanjian tersebut.
Sebagai balasan, kerajaan negeri perlu membayar sebanyak RM3.5 juta dan hasil rundingan itu juga, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah syarikat dengan memberi pemilikan saham sebanyak 30 peratus kepada syarikat terbabit untuk membangunkan tanah seluas 112,000 hektar di Hulu Kelantan.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas turut mendakwa BN tidak menepati janji untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan Timbermine pada ketika itu selepas berjaya memerintah negeri ini tanpa Pas pada 1978.
"Cerita ketika itu timbul Pas gadai tanah kepada tauke Singapura, tauke ini ialah Timbermine, hendak tebus balik, undi saya (BN), kalau tidak undi akan digadai selamanya.
"Benda ini masuk dalam kepala rakyat, mereka yang melakukannya, setengahnya sudah mati, ada seorang dua lagi mereka kata undilah saya (BN) kalau undi Pas kena gadai sokmo (selalu).
"Akhirnya undilah (menang) kita sangka tebus dah, tapi tidak lagi, buktinya kita kena bayar RM800 juta, mereka tipu saya," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment