02 January 2010

'Lantik segera peguam atau muflis'

KOTA BHARU 1 Jan. - Kerajaan negeri perlu melantik peguam berwibawa secepat mungkin untuk mengemukakan rayuan berhubung ganti rugi sebanyak RM800 juta terhadap sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn. Bhd. atau berdepan kemungkinan muflis.

Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) negeri, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, memberi amaran berkenaan sebagai ingatan kepada kerajaan Pas Kelantan kerana jumlah ganti rugi berkenaan lebih besar daripada pendapatan tahunan kerajaan negeri.

"Cari peguam profesional dan berwibawa secepat mungkin untuk membuat rayuan kerana jumlah itu sangat banyak dan kerajaan boleh muflis.

"Kalau ganti rugi itu kekal maka rakyat di negeri ini yang akan menanggung beban dan sengsara kerana ditadbir oleh kerajaan yang muflis," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Sapeia mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin yang menjatuhkan hukuman tersebut selepas kerajaan negeri melanggar beberapa perjanjian antara kedua belah pihak sejak 45 tahun lalu.

Difahamkan, menurut fakta kes, syarikat pembalakan itu memperoleh konsesi balak ratusan ribu hektar di Hulu Kelantan.

Bagaimanapun keluasan asal dikurangkan kepada separuh tetapi masih mengekalkan perkongsian antara kedua-dua pihak.

Menurut Nik Sapeia, rakyat negeri ini berdepan risiko tidak mempunyai sebarang pembangunan sehingga tiga atau empat tahun akan datang jika kerajaan negeri gagal dalam kes rayuan berkenaan.

"Rakyat kesal dengan apa yang berlaku. Kalau kalah, kita tidak akan melihat sebarang pembangunan di negeri ini untuk beberapa tahun akan datang.

"Malah kemungkinan besar kakitangan kerajaan juga tidak akan dibayar gaji kerana tidak ada wang yang cukup," jelas beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment