02 January 2010

Karachi hampir lumpuh

KARACHI 1 Jan. - Bandar raya komersial Pakistan, Karachi hampir lumpuh hari ini apabila para pemimpin agama dan politik melancarkan mogok memprotes kejadian keganasan, selepas seorang pengebom berani mati membunuh 43 orang semasa satu perarakan keagamaan pada minggu ini.

Pergerakan Taliban yang bertekad untuk menumbangkan kerajaan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas perarakan penganut Syiah pada Isnin lalu dan mengancam untuk mencetuskan lebih banyak pertumpahan darah.

Kemungkinan meningkatnya keganasan pada waktu kritikal bagi Presiden Asif Ali Zardari yang mengalami tekanan politik berikutan tuduhan rasuah terhadap beberapa pembantu kanannya mungkin difailkan semula.

Jalan-jalan di Karachi hampir lengang hari ini. Bursa Saham yang biasanya beroperasi pada hari pertama Tahun Baru ditutup.

Polis menangkap 18 orang sejak rusuhan yang meletus berikutan serangan bom itu memusnahkan beratus buah kedai, menyebabkan bandar raya terbesar di Pakistan ini mengalami kerosakan dianggarkan bernilai 30 bilion rupee (RM1.24 bilion).

"Kami tidak menerima maklumat mengenai ancaman khusus hari ini," kata ketua polis Karachi, Waseem Ahmed. Namun begitu, pasukan polis dan separa tentera melakukan rondaan.

Penduduk juga enggan mengambil risiko kerana khuatir puak militan yang telah membunuh beratus-ratus orang sejak Oktober lalu akan melancarkan serangan baru, sekalipun tentera menggempur kubu kuat mereka.

"Kami sudah pun mengalami kerugian dan tidak boleh mengambil risiko dengan membuka kedai kami," kata peniaga barangan elektronik, Saleem Ahmed.

Dalam langkah yang menandakan kebimbangan semakin meningkat mengenai serangan Taliban dan al-Qaeda, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang untuk membawa keluar sebilangan kakitangan antarabangsa dari Pakistan, kata seorang jurucakap PBB, semalam.

Pertumpahan darah itu juga menimbulkan kekecewaan di kalangan ramai rakyat Pakistan.

Beratus kedai dibakar dalam rusuhan selepas serangan bom ke atas perarakan pengikut Syiah di bandar raya yang mempunyai 18 juta penduduk ini.

Menurut pegawai, Karachi menjana 68 peratus daripada hasil kerajaan dan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pakistan. Ia juga menempatkan dua pelabuhan utama negara ini.

Sungguhpun pelabur sudah biasa dengan keganasan hampir setiap hari di barat laut Pakistan, keganasan di Karachi membawa kesan langsung ke atas pasaran kewangan dan sentimen pelabur. - Reuters

No comments:

Post a Comment