29 December 2009

Tolong, potong kaki saya!

TANGKAK: “Tolong selamatkan saya, potong saja kaki saya, tolong keluarkan saya.” Begitu kata-kata terakhir seorang lelaki yang rentung bersama tiga anaknya selepas van mereka naiki terbalik sebelum terbakar dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan di Jalan Muar-Tangkak di Parit Bunga di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Ong Dun Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Ong Zhen Hui, 10, dan Ong Zhen Qi, 6, rentung dalam van berkenaan manakala seorang lagi anak lelakinya, Ong Zhen Jie, 3, meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kemalangan turut menyebabkan isteri mangsa, Tan Kock Yew, 37, dan anak lelaki bongsu mereka, Ong Zhen Li yang baru berusia setahun serta seorang lagi rakan sekerja mangsa berusia 20-an dikenali Chan Chen Too, terselamat dengan hanya cedera ringan.

Saksi, Abdul Aziz Samad, 21, berkata dia bersama sepupu dalam perjalanan ke tapak expo di Dataran Tanjung Emas apabila terserempak kemalangan itu.

Menurutnya, dia antara saksi terawal di tempat kejadian dan cuba membantu beberapa ahli keluarga itu keluar dari kenderaan sebelum van terbabit terbakar dan meletup.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila pemandu van itu merayu supaya diselamatkan walaupun sanggup kakinya dipotong,” katanya.

Seorang kenalan mangsa, Tay Kock Yew, 46, berkata keluarga terbabit dalam perjalanan dari Muar ke Tangkak untuk menghantar seorang rakan selepas menghadiri majlis keagamaan di sebuah gereja di sini.

Katanya, mangsa yang juga pekerja di Gereja Calvary di Jalan Kim Kee turut menghadiri dan mempengerusikan satu majlis keagamaan sempena sambutan Krismas yang berlangsung dari jam 8 hingga 10 malam kejadian.

“Dia baru mempengerusikan majlis keagamaan di gereja, tidak sampai setengah jalan perjalanan untuk menghantar seorang rakan sekerjanya pulang ke Tangkak apabila kami dikejutkan dengan berita nahas ngeri itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPSF di sini, awal pagi semalam.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Muar dan Ledang bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran dan operasi mengeluarkan tiga mangsa yang rentung.

Kedua-dua anak Siong ditemui rentung di tempat duduk belakang van berkenaan manakala Siong ditemui tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga itu berlaku membabitkan empat kenderaan termasuk van Nissan Vanette dinaiki keluarga itu.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati sebuah Toyota Wish bernombor pendaftaran Singapura dari arah Muar ke Tangkak dipercayai cuba membelok ke simpang kanan laluan berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dipercayai lambat membelok menyebabkan sebuah Toyota Innova yang datang arah Tangkak ke Muar terlanggar bahagian belakang sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung van dinaiki keluarga itu.

“Sebuah kereta Toyota Vios yang berada di belakang van berkenaan pula melanggar belakang kenderaan mangsa menyebabkannya terpelanting sebelum terbalik dan terbakar berikutan terdapat kebocoran pada tangki minyak,” katanya.

Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa yang rentung dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tangkak untuk dibedah siasat manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia di HPSF sebelum keluarganya menuntut mayat mereka, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, seorang lelaki iaitu pemandu warga Singapura berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan.

“Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis, pagi semalam sementara tindakan lanjut dikenakan terhadapnya,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment