18 December 2009

Tayar toreh bawa maut

KUALA TERENGGANU: Kerana inginkan bajet murah, segelintir pemilik kenderaan bermotor terutama kereta sanggup berdepan bahaya apabila menggunakan tayar tidak memiliki ciri-ciri keselamatan seperti tayar toreh.

Namun, pemilik kenderaan yang menggunakan tayar berkenaan bakal dikenakan tindakan undang-undang apabila kerajaan `mengharamkan’ penggunaan tayar jenis itu berkuat kuasa mulai Januari 2010.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pihaknya memandang serius kesalahan itu kerana penggunaan tayar jenis itu yang jelas tidak berkualiti boleh mengancam keselamatan selain turut menjadi punca kemalangan jalan raya meningkat.

“Jangan terlalu memikirkan bajet sehingga sanggup membeli tayar yang tidak memiliki ciri-ciri keselamatan yang secara tidak langsung boleh mengancam nyawa ketika di jalan raya.

“Bagaimanapun, peringkat permulaan, pendekatan undang-undang dengan menasihat pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan itu supaya menukar tayar yang memiliki ciri-ciri keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penguatkuasaan itu, pihaknya meminta pemilik kenderaan supaya peka dan tahu membezakan tayar toreh dengan tayar tulen yang memiliki ciri-ciri keselamatan terjamin.

Justeru itu katanya, bagi memudahkan pemilik kenderaan membezakan tayar berkenaan, pihaknya akan menyediakan sudut khas di ruang pameran pejabat JPJ negeri bermula Januari depan. - Metro

No comments:

Post a Comment