18 December 2009

Kecoh perang mulut

SUASANA Dewan Rakyat petang semalam kecoh seketika apabila berlaku ‘perang mulut’ antara Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) dengan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim-Bandar Baharu) berhubung kenyataan Abdul Rahman bahawa pembangkang sering mengemukakan hujah tidak kukuh serta berunsur fitnah sehingga beberapa kali perlu memohon maaf sejak dua minggu lalu.

Abdul Rahman ketika itu bangun mencelah mempertahankan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung sewaktu penggulungan cadangan kerajaan menukarkan pinjaman Kerajaan Persekutuan sebanyak RM215.75 juta kepada syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) kepada ekuiti.

Menurutnya, banyak fakta dikemukakan pembangkang berhubung usul itu tidak kukuh dengan hujah lembik dan berunsur fitnah sehingga dalam tempoh dua minggu beberapa kali minta maaf di Dewan Rakyat.

Beliau kemudian memberi contoh Azan menuduh kerajaan kehilangan sejumlah wang menerusi projek Telekom di Ghana manakala Zulkifli pula berkaitan pertanyaan mengenai pelajar cemerlang, Nur Amalina Che Bakri yang dikatakan gagal dalam pelajaran ketika menuntut di Universiti Edinburgh, sebelum ini.

Kenyataan beliau menyebabkan dua Ahli Parlimen PKR itu bangun serentak meminta dia memohon maaf dan menarik balik tuduhan itu kerana tidak tepat.

Keadaan menjadi kecoh apabila Abdul Rahman enggan berbuat demikian, malah tindakan beberapa Ahli Parlimen lain yang bangun dan saling tuduh menuduh menyebabkan keadaan kecoh seketika.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee bagaimanapun berjaya mengawal keadaan apabila menasihatkan Abdul Rahman menarik balik tuduhan itu.

Sebelum itu, Chor berkata, kebiasaannya dalam perniagaan, tidak ada syarikat mengambil masa singkat mencatatkan keuntungan, tambahan pula CTRM terbabit dalam pengilangan dan pengedaran komponen komposit serta aerostruktur pengeluar utama pesawat dunia termasuk Airbus serta Boeing.

“Kalau buka perniagaan mesti rugi dulu, jadi dalam perkara ini (CTRM), kerajaan kena labur modal dan saya mengakui sejak 10 tahun lalu memang syarikat itu tidak mencatat rekod yang baik.

“Bagaimanapun, kerajaan melihat industri ini cukup strategik dan kita kena berhati-hati serta mencari jalan untuk mencatat keuntungan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2006 hingga sekarang, CTRM mula mencatat keuntungan kira-kira RM30 juta setahun. - Mymetro

No comments:

Post a Comment