18 December 2009

Ekonomi terbuka Najib dikritik Jomo

PETALING JAYA, 18 Dis: Ahli ekonomi terkemuka KS jomo secara tidak langsung mengkritik dasar ekonomi terbuka yang mula diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jomo yang kini bertugas sebagai penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) berkata dasar ekonomi terbuka yang membolehkan liberalisasi kewangan negara tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kini.

Sebaliknya beliau menjelaskan dasar ekonomi tersebut hanya menyumbang kepada peningkatan harga pasaran saham dan hartanah
yang boleh melambung tinggi dan kemudiannya merudum secara tiba-tiba.

Jomo (gambar) berkata sedemikian semasa memberi syarahan yang bertajuk “adakah malaysia menggambil iktibar dari kesan krisis ekonomi yang lepas”, yang berlangsung di Hotel Singgahsana di sini malam semalam.

Program tersebut dianggarkan dihadiri seramai 200 orang. Ia dianjurkan oleh Gerak Budaya dan Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD). Penganjur bersama adalah Youth4 Change.

Jomo berkata dasar tersebut mungkin disokong oleh golongan berpendapatan kelas pertengahan yang melabur di dalam pasaran saham tetapi menurutnya dasar tersebut tidak menyumbang kepada “ekonomi sebenar”.

Beliau memberi contoh kejayaan syarikat-syarikat tempatan dalam memproses minyak sawit mentah kepada minyak sawit yang telah ditapis sebagai satu kejayaan yang menyumbang kepada ekonomi
sebenar negara ini.

Katanya lagi, minyak sawit untuk kegunaan memasak keluaran Malaysia kini tidak “menyebabkan siling dapur berjelaga”.

“Inilah contoh-contoh kejayaan kejuruteraan Malaysia membawa perubahan kepada ekonomi (sebenar),” tambahnya lagi.

Jomo berkata perubahan ke arah dasar ekonomi terbuka kini adalah hasil kerja para pelobi yang bergerak aktif diperingkat
antarabangsa.

Katanya usaha-usaha tersebut amat giat dijalankan sehingga dasar-dasar yang bertujuan untuk melindungi kepentingan
negara seperti yang telah diamalkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “dicampak begitu
sahaja”.

“Perkara-perkara seperti ini jarang-jarang sekali didebatkan di parlimen,”katanya.

Jomo juga membangkitkan kecenderungan kerajaan di bawah pimpinan Najib untuk bergantung kepada pengunaan dan
perbelanjaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi sebagai “satu strategik yang tidak ampuh”.

Katanya kecenderungan tersebut akan menjadikan impian negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan terpaksa
ditangguh “sekurang-kurangnya selama satu dekad lagi”.

Di antara perubahan dasar ekonomi yang diperkenalkan Najib adalah liberalisasi 27 subsektor dan sektor kewangan, pengeluaran lesen bank-bank komersil baharu untuk rakyat asing menyertai sektor kewangan negara, pertumbuhan kewangan Islam, serta memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) membabitkan ekuiti Bumiputera.

Dasar ekonomi terbukanya juga dijangka mengurangkan pemilikan ekuiti bumiputra dari paras 18 peratus sekarang kepada
sekitar hanya 12 peratus.

Sementara itu pemilikan ekuiti di kalangan pihak asing dijangka meninggkat sehingga 70 peratus. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment