08 December 2009

Soi Lek, 12 anggota CC letak jawatan

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Seramai 13 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bersetuju menandatangani surat peletakan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Namun, peletakan jawatan mereka bukan jaminan penyelesaian kemelut MCA kerana pemilihan semula parti hanya boleh diadakan jika tujuh lagi anggota CC yang dipilih bersetuju mengambil tindakan sama.

Ini kerana perlembagaan MCA mensyaratkan pemilihan semula parti hanya boleh diadakan jika dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih bersetuju meletakkan jawatan.

CC MCA dianggotai 42 anggota termasuk 30 orang yang dipilih dan sekurang-kurangnya 20 orang perlu meletakkan jawatan jika mahu pemilihan baru parti diadakan.

Soi Lek pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas untuk mengkaji pemilihan semula parti di Wisma MCA di sini hari ini berkata, banyak isu teknikal perlu ditangani sebelum pemilihan semula parti dapat diadakan.

"Antara perkara yang kita bincangkan ialah berapa anggota CC bersetuju meletakkan jawatan setakat ini.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya 20 anggota CC yang dipilih meletakkan jawatan jika mahu pemilihan semula parti diadakan," katanya.

Sehubungan itu, Soi Lek berkata, pihak urus setia parti akan menyediakan surat peletakan jawatan yang standard untuk diedarkan kepada anggota-anggota CC lain bagi memudahkan urusan mereka meletakkan jawatan.

Beliau berkata, mereka yang bersetuju meletakkan jawatan hanya perlu menandatangani surat tersebut untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng dalam tempoh 24 hari mulai hari ini.

Katanya, pemilihan semula parti boleh diadakan dalam tempoh 30 hari selepas surat peletakan jawatan 20 anggota CC diterima.

Difahamkan, selain Soi Lek, 12 anggota CC lain yang bersetuju meletakkan jawatan ialah Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kumpulan yang menyokongnya.

Selain isu peletakan jawatan, Soi Lek berkata, mesyuarat hari ini juga membincangkan mengenai perlu atau tidak jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

"Kita membincangkan kalau pemilihan parti diadakan, adakah barisan kepimpinan yang dipilih itu akan berkhidmat untuk 2011 atau sehingga tempoh tiga tahun.

"Dalam hal ini, kita kena mengkaji soal Ketua Pemuda kerana umur layak memegang jawatan itu adalah tidak melebihi 45 tahun.

"Ini kerana semasa dipilih pada 2008, beliau berumur kurang 45 tahun tetapi kalau ada pemilihan bagi tahun akan datang bermakna beliau sudah mencapai umur lebih 45 tahun," jelasnya.

Beliau menambah, semua isu yang dibincang dalam mesyuarat hari ini diserahkan kepada peguam parti untuk diteliti dalam tempoh empat hari sebelum keputusan mengenainya dibuat bagi mengelak ia bercanggah dengan perlembagaan MCA.- Utusan

No comments:

Post a Comment