08 December 2009

Tajuddin perlu bayar Danaharta RM589.143 juta

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat penghakiman yang memihak kepada pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta) dan dua anak syarikatnya terhadap Tan Sri Tajuddin Ramli.

Mahkamah mengarahkan Tajuddin membayar RM589.143 juta setakat 31 Disember, 2005 kepada Danaharta, serta faedah pada kadar dua peratus lebih tinggi daripada kadar pinjaman asas (BLR) Malayan Banking Bhd hingga tarikh penyelesaian pembayaran.

Danaharta dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Tinggi sebelum itu membenarkan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas ganti rugi oleh Tajuddin terhadap tiga syarikat Danaharta dan 23 defendan lain, serta rayuannya terhadap pindaan dan bersama 14 defendan tambahan terhadap tuntutan balas oleh Tajuddin.

"Peguam Tajuddin telah menyatakan hasrat untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan," katanya.

Kes itu berbangkit selepas Tajuddin melaksanakan perjanjian kemudahan pada 13 Julai, 1994 untuk meminjam RM1.792 bilion daripada sekumpulan peminjam bersindiket untuk membiayai pembelian 32 peratus pegangan dalam Malaysia Airlines.

Bagaimanapun, dari 1994 hingga 1998, beliau gagal membayar pinjaman asal menyebabkan ia menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL).

Pada 1988, Danaharta memperoleh NPL daripada peminjam namun Tajuddin gagal menjelaskan hutangnya kepada Danaharta sehingga keingkaran berjumlah RM1.41 bilion pada 8 Oktober, 2001.

Sebahagian daripada penyelesaian itu, Tajuddin perlu membayar RM942 juta dalam empat ansuran dalam tempoh tiga tahun dan beliau dibenarkan untuk menebus saham yang dicagar pada harga minimum sesaham Tajuddin bagaimanapun gagal membayar pinjaman dengan kadar faedah suku tahunan yang dibuat menerusi perjanjian penyelesaian dan pada 27 April, 2002, plaintif menamatkan perjanjian penyelesaian dan menuntut beliau membayar RM1.61 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment