08 December 2009

34 terbunuh dalam kejadian pengeboman di Pakistan

LAHORE, Pakistan 7 Dis. - Dua buah bom meletup di tengah-tengah kawasan pasar yang dipenuhi orang ramai di timur bandar Pakistan di Lahore hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh selain 100 cedera, menurut pihak berkuasa.

Paparan televisyen menunjukkan beberapa buah kereta dan kedai terbakar di kawasan pasar Moon di bandar tersebut selepas pengeboman itu berlaku.

Puak militan telah mencetuskan beberapa siri pengeboman di Pakistan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sejak pihak tentera melakukan serangan terhadap kubu Taliban di barat laut berdekatan sempadan Afghanistan.

Lebih 400 orang telah terbunuh di dalam siri serangan tersebut dan kebanyakannya disasarkan di kawasan kawalan pihak berkuasa selain di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di pasar.

Pegawai kerajaan, Sajjad Bhutta berkata, 34 orang telah terbunuh dan 100 orang cedera dalam kejadian pengeboman di pasar itu hari ini.

Menteri Undang-undang Punjab, Rana Sanaullah berkata, bom-bom tersebut telah dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Lahore merupakan bandar kedua terbesar Pakistan dan ia tidak jauh daripada sempadan India dan telah diserang beberapa kali oleh puak militan sejak tahun-tahun kebelakangan ini. - AP

No comments:

Post a Comment