08 December 2009

Penjual burger pembekal MC

PUTRAJAYA: Dengan hanya bermodalkan RM15, kaki ponteng kerja yang tidak diluluskan cuti mampu memperoleh ‘sijil sakit (MC) terbang’ dibekalkan seorang pengusaha gerai burger dipercayai bersekongkol dengan kakitangan klinik di Kuala Lumpur bagi menipu majikan semata-mata untuk bersama kekasih atau keluarga.

Kegiatan dipercayai sudah lama berleluasa di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dikatakan sukar dikesan majikan berdasarkan MC dikeluarkan kelihatan tulen seperti dikeluarkan klinik berdaftar.

Lebih memeranjatkan, kegiatan itu dipercayai didalangi individu yang menjadikan gerai burgernya sebagai ‘port’ bagi menjual MC terbang yang kononnya dikeluarkan sebuah klinik beralamat di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Malah, individu terbabit dipercayai nekad dan bijak meniru tandatangan doktor di klinik berkaitan bagi meyakinkan majikan bahawa MC terbabit memang dikeluarkan klinik berkenaan.

Kegiatan itu didedahkan pegawai kanan sebuah syarikat beroperasi di sini, yang hanya mahu dikenali Ahmad, lingkungan 40-an, selepas pengurusan syarikatnya berjaya mencekup lima pekerja lingkungan 20 hingga 35 tahun yang mengemukakan MC palsu.

Menurutnya, penipuan lima ‘sekawan’ itu dilakukan selepas permohonan cuti mereka tidak diluluskan pengurusan syarikat apabila mereka didakwa mahu menyambung cuti sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.

“Penipuan mereka terbongkar selepas pengurusan syarikat menjalankan siasatan dan menemui bukti sahih mengakibatkan mereka disiasat sebelum masing-masing mengaku bersubahat dengan ‘kaki’ di sebuah gerai burger bagi mendapatkan MC palsu.

“Bukan itu saja, kami juga pelik kerana pekerja terbabit begitu mudah mendapat MC dari klinik sama di Pandan Indah, Kuala Lumpur walaupun mereka bekerja di daerah ini.

“Apa yang menjadi tanda tanya mengapa pekerja ini perlu mendapat rawatan hingga ke Kuala Lumpur walaupun ada beberapa klinik berhampiran rumah mereka di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, selepas didesak beberapa kali, kakitangan terbabit membocorkan rahsia dan mengaku memperoleh MC yang dijual dengan harga RM15 sekeping dari sebuah gerai burger di kawasan perumahan di sini.

Ahmad berkata, pekerja terbabit mendakwa mereka diperkenalkan individu tertentu yang memaklumkan mampu mendapatkan MC dengan mudah tanpa perlu berjumpa doktor.

Difahamkan, gerai burger dikendalikan lelaki lingkungan 30-an terbabit menjadi tumpuan kaki ponteng kerja sama ada kakitangan swasta atau kerajaan terutama mereka yang terpaksa bekerja pada hari perayaan atau ingin melanjutkan cuti perayaan.

Bukan itu saja, Ahmad berkata, siasatan mendapati MC itu memang palsu, malah doktor klinik terbabit yang dihubungi mengaku tidak pernah mengeluarkannya atau mempunyai rekod rawatan pekerja berkenaan pada tarikh dinyatakan.

“Apabila kita menghubungi klinik, mereka memaklumkan tidak mempunyai rekod nama pesakit dinyatakan dan tidak pernah mengeluarkan sijil sakit kepada individu itu.

“Malah, doktor di klinik terbabit turut memaklumkan dia menerima banyak panggilan daripada majikan mengadu ramai pekerja mendapat cuti sakit dari klinik itu,” katanya.

Ahmad tidak menolak kemungkinan pekerja klinik bersekongkol dengan pemilik gerai burger berikutan MC dikeluarkan saling tidak tumpah seperti sijil dikeluarkan di klinik yang tercatat pada sijil sakit terbabit.

“Mungkin pekerja klinik menjual sijil sakit itu dengan harga RM5, manakala penjual burger menjual dengan harga RM15... jadi kedua-dua pihak mendapat untung atas angin.

“Kita menganggap pemilik gerai burger berpakat dengan pekerja klinik kerana sijil sakit yang dikeluarkan adalah asli seperti dikeluarkan klinik yang tercatat pada sijil sakit berkenaan dan apa yang membezakan tandatangan doktor yang cuba ditiru,” katanya.

Difahamkan, ada beberapa gerai jualan yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu, tetapi mereka bijak mengaburi pihak berkuasa dengan berpindah ke lokasi lain selepas mengetahui kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Tanpa berselindung, Ahmad berkata, tindakan tegas dikenakan terhadap lima pekerja terbabit yang didapati cuba melakukan penipuan dan tidak jujur kepada syarikat.

Menurutnya, semua pekerja terbabit dikenakan tindakan potong gaji selain digantung kerja berikutan penipuan cuti yang dilakukan. - Mymetro

No comments:

Post a Comment