08 December 2009

Sorok beruang dalam kondominium

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menyerbu sebuah kondominium di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu selepas pemiliknya didapati memelihara tiga ekor haiwan liar yang dilindungi.

Ketiga-tiga haiwan itu ialah beruang, kucing batu serta kongkang dan ia dipelihara oleh seorang wanita dan saudara lelakinya.

Timbalan Pengarah Perhilitan Selangor, Mohammad Khairi Ahmad berkata, serbuan yang dijalankan pukul 7 malam itu mendapati, beruang berwarna hitam tersebut diletakkan dalam sangkar di bahagian tengah rumah manakala dua lagi haiwan lain diletakkan di kawasan beranda.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, hanya wanita yang berusia 25 tahun itu yang bekerja di sebuah hotel berada di rumah manakala saudaranya yang berumur 30 tahun sudah keluar.

"Siasatan awal mendapati, haiwan-haiwan tersebut adalah milik lelaki berkenaan dan dibeli bagi tujuan peliharaan daripada Orang Asli di Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejak lelaki tersebut," katanya semalam. - Kosmo

No comments:

Post a Comment