25 December 2009

Pemberhentian Brig. Jeneral, anggota sebab tidak cekap

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memaklumkan pemberhentian seorang pegawai berpangkat Brigadier Jeneral dan beberapa anggotanya sebelum ini adalah berkaitan dengan ketidakcekapan dan pretasi kerja.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Perhubungan Awam TUDM di sini hari ini, tindakan itu diambil sebelum kejadian kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E diketahui berlaku.

"Semua tindakan yang yang diambil itu adalah langkah-langkah biasa untuk mencegah daripada berulangnya perkara tidak diingini," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, TUDM berharap agar semua pihak tidak mempunyai sebarang spekulasi dan apa-apa andaian yang bercanggah daripada fakta sebenar untuk mengelakkan kekeliruan.

TUDM buat masa ini, kata kenyataan itu, tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana ia dalam proses siasatan dan pendakwaan.

Dua enjin pesawat F-5E serta beberapa peralatan avionik berkaitan milik TUDM dipercayai hilang sejak 2007 dan dilaporkan dijual ke sebuah negara Amerika Latin melalui sebuah syarikat. - Utusan

No comments:

Post a Comment