KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tindakan kerajaan memanggil pulang Duta Malaysia di Vienna, Datuk Arshad Manzoor Hussain untuk konsultasi merupakan satu perkara biasa dalam bidang diplomatik.
Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata, Arshad Manzoor diarahkan pulang untuk memberikan penjelasan mengenai gambaran sebenar yang berlaku dalam Mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 27 November 2009.
"Kementerian Luar merasakan isu tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana memanggil pulang duta di luar negara untuk memperjelaskan sesuatu isu adalah tindakan normal bagi kementerian.
"Malah dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Disember baru-baru ini, Kementerian Luar sudah menyatakan bahawa undian yang dijalankan adalah tidak selaras dengan prosedur kerajaan," katanya.
Anifah berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut mengulas komentar sebuah akhbar bahasa Inggeris hari ini mengenai undian dalam mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA.
Anifah berkata, Kementerian Luar sedar akan tanggungjawabnya dan kerajaan sering mengutamakan kepentingan negara dalam membuat sebarang pendirian berhubung isu antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan komentar dalam akhbar berbahasa Inggeris berkenaan sebagai berniat jahat dan tidak 'membantu' kepentingan Malaysia. - Utusan
No comments:
Post a Comment