KUALA LUMPUR: Naluri keibuan orang awam yang berada di galeri Mahkamah Tinggi di sini, semalam tersentuh apabila melihat seorang tertuduh yang berdepan hukuman gantung sampai mati hadir dengan tangan bergari sambil membawa bayinya berusia dua minggu.
Bayi itu dilihat tidak berselimut dan merengek beberapa kali mungkin kerana tidak tahan dengan udara sejuk dalam mahkamah sehingga menyebabkan seorang wartawan yang berada di situ untuk membuat liputan memberi selendangnya.
Ambiga Mohamad, 37, dari Myanmar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar dadah bersama suami serta dua orang lagi terpaksa melalui keadaan itu kerana ketika ditangkap dia mengandung dua bulan.
Sebelum prosiding bermula, seorang anggota polis membuka gari di tangan Ambiga bagi membolehkan dia memberikan susu kepada bayinya yang kemudian tidur sebaik Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz memulakan prosiding kes.
Ambiga didakwa bersama suaminya, Lim Siau Seng, 29, dan K Vigneswaran, 23, serta seorang lagi wanita Myanmar, Arafah Abu, 30, mengedar dadah heroin seberat 3,150 gram.
Mereka yang tidak mengaku bersalah didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan letak kereta di Jalan Manis 6 berhadapan Maybank Taman Segar, Cheras, pada jam 5 petang 3 April lalu.
Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula bagi membolehkan laporan kimia dikemukakan. - Mymetro
No comments:
Post a Comment