KUALA LUMPUR: Keinginan untuk mengetahui mengenai darah Melayu yang mengalir dalam dirinya mendorong seorang gadis dari Australia mengambil keputusan merantau seorang diri untuk mencari bapanya, rakyat Malaysia yang menghilangkan diri sejak lebih 20 tahun lalu.
Phoebe Rosehope, 24, berkata tidak banyak maklumat mengenai lelaki yang dikenali sebagai Abu Bakar Abdullah berusia 51 tahun itu diketahui memandangkan dia tidak berkesempatan bertemu dengan lelaki berkenaan.
“Ibu saya dan Abu Bakar yang lebih dikenali sebagai AB bertemu ketika dia mengambil A-Level di United Kingdom pada 1978 hingga 1980.
“Selepas itu AB menyambung ijazah pertamanya dalam bidang fisiologi/biokimia di Queen Elizabeth College, Kensington,” katanya.
Menurutnya, pada tahun kedua pengajian, AB pulang ke Malaysia namun atas beberapa masalah peribadi dia kembali semula ke UK, namun gagal menamatkan pengajian.
“Melalui maklumat yang disampaikan ibu saya, AB kembali ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai ejen insurans di Jalan Ampang dan tinggal bersama kakaknya,” katanya.
Rosehope berkata, ibunya pernah menerima surat daripada AB pada 1985 yang memaklumkan dia mengalami banyak masalah.
“Tidak lama selepas itu AB memaklumkan dia mendapat pekerjaan di firma peralatan sains dan selepas itu tidak mendapat sebarang khabar daripadanya,” katanya.
Menurutnya, ketika usianya beberapa bulan, ibunya berpeluang mengenali seorang teman yang bekerja di Malaysia dan lelaki berkenaan ada berhubung dengan AB.
“Hasil maklumat daripada lelaki itu, dia mengatakan kehidupan AB tidak berapa baik dan dia mengalami kemalangan motosikal.
“Pada 1986, ibu saya pernah menyatakan untuk mempertemukan saya dengan AB namun dia enggan. Selepas itu, ibu saya menetap di Australia dan sehingga kini kami tidak menerima sebarang berita mengenai AB,” katanya.
Menurutnya, pada ketika itu, ibunya yang kini berusia 61 tahun menggunakan nama Cara Carter dan menukar namanya kepada Cara Rosehope.
“Ketika saya dilahirkan, ibu meletakkan nama saya sebagai Phoebe Winsome Ivy Abdullah-Carter namun selepas itu saya menggunakan nama Phoebe Rosehope,” katanya.
Rosehope berkata, keinginannya bertemu bapanya timbul tahun lalu kerana melihat perbezaan yang ada pada dirinya berbanding ahli keluarga lain.
“Saya sedar diri saya unik kerana mempunyai darah Melayu, namun saya agak kecewa kerana tidak berpeluang mengenali budaya Melayu. Kerana itu saya mahu mencari ayah saya dan mengenalinya dengan lebih rapat,” katanya.
Menurutnya, dia berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk mencari lelaki berkenaan, namun akan kembali ke Australia pada 19 Disember ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat AB boleh menghubungi Rosehope melalui e-mel di phoebe.w.i.rosehope@ gmail.com.- Metro
No comments:
Post a Comment