05 December 2009

Askar serbu rumah puak Ampatuan

MANILA 4 Dis. - Askar-askar Filipina lengkap dengan baju kalis peluru dan raifal hari ini menyerbu beberapa rumah milik pemimpin puak yang berpengaruh di wilayah Maguindanao, yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai, yang meragut 57 nyawa, baru-barui ini.

Serbuan dramatik itu dibuat selepas pihak berkuasa menemui banyak senjata api seperti pistol, senapang dan senjata lain yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan dan ditanam beberapa ratus meter dari rumah keluarga Ampatuan.

"Mereka mencari senjata api, peluru dan pelbagai lagi. Waran geledah memberi kebenaran mencari segala benda berkaitan," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jonatahan Ponce selepas sekumpulan askar melancarkan operasi pagi ini.

Lebih 100 askar dan berpuluh-puluh anggota polis pada awalnya menyerbu rumah Andal Ampatuan Jr., datuk bandar Buluan di selatan Filipina yang kini berhadapan dengan 25 dakwaan membunuh dalam insiden pembunuhan tersebut.

Rumah milik anggota lain puak Ampatuan, termasuk rumah Gabenor Maguindanao turut diserbu tidak lama kemudian.

Gabenor itu, Andal Ampatuan Sr., tidak ditahan, namun ia adalah fasa dramatik kejatuhan seorang lelaki yang pada minggu lalu masih menikmati sokongan daripada Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

Ampatuan Sr. telah memerintah wilayah bergolak itu sejak 2001 dengan memiliki tentera sendiri dan melantik anggota keluarganya dalam pelbagai jawatan kerajaan.

Polis minggu ini turut mendakwa Ampatuan Sr. dan empat lagi anggota keluarga lain kerana peranan mereka dalam kes tersebut.

Polis mendakwa Ampatuan Jr. dan 100 lelaki bersenjata di bawah arahannya telah menembak mati satu konvoi pesaingnya yang merancang untuk bertanding jawatan Gabenor Maguindanao pada tahun depan, Esmael Mangudadatu termasuk sanak-saudara beliau dan sekumpulan wartawan pada 23 November lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment