BEIJING 4 Dis. – Sebuah mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati ke atas lapan lagi individu kerana didapati bersalah membunuh seorang pegawai polis menggunakan batu bata, menendang orang yang berada di tempat kejadian sehingga mati dan jenayah-jenayah lain semasa rusuhan etnik di wilayah Xinjiang, barat China pada Julai lalu.
Mahkamah Pertengahan Rakyat Urumqi turut menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua individu lain semalam manakala pada bulan lalu sembilan lelaki etnik Uighur telah dihukum mati kerana terlibat dalam rusuhan yang meragut hampir 200 nyawa itu.
Seorang daripada tertuduh yang dijatuhi hukuman mati, Memeteli Islam, didakwa membunuh seorang pegawai polis dengan memukulnya menggunakan batu bata di bahagian belakang kepala.
Sementara itu, Mamattursun Elmu dan Memeteli Abburakm dituduh menyerang sebuah bas mini dan menyepak seorang lelaki dan wanita di dalam bas berkenaan sehingga mati.
Mamattursun Elmu turut didakwa menyebabkan kebakaran di sebuah pusat pengedaran bijirin, menyebabkan lima maut.
Helil Sadir dituduh membunuh seorang individu yang berada di tempat kejadian dengan botol bir dan menendang mukanya, manakala Kushiman Kurban didapati bersalah menikam seorang individu sehingga mati.
Hukuman yang dikenakan itu dikutuk keras oleh pemimpin Uighur dalam buangan, Rebiya Kadeer sebagai palsu dan menyeru masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Beijing.
“Saya bimbang lima etnik Uighur itu akan menerima nasib sama dengan sembilan rakan mereka yang dihukum mati bulan lalu sekiranya dunia masih membisu,” kata beliau lagi.
Sementara itu, sekumpulan 22 orang etnik itu yang melarikan diri dari Xinjiang cuba mendapatkan suaka di Kemboja selepas menggunakan rangkaian bawah tanah misi mubaligh di China yang sebelum ini membantu pelarian Korea Utara.
Ia adalah kali pertama rangkaian mubaligh Kristian membantu sekumpulan besar etnik Uighur yang beragama Islam dan ia mungkin bukan yang terakhir. Mereka yang bekerja dengan rangkaian itu berkata, kumpulan Uighur di luar negara telah meminta agar dibenar menggunakan ‘laluan’ itu untuk membawa pelarian dari China ke pejabat pelarian PBB di Kemboja. – AGENSI
No comments:
Post a Comment