05 December 2009

Tokoh agama Pas patut tegur Nik Aziz

PUTRAJAYA 4 Dis. - Pemimpin- pemimpin Pas dari kalangan tokoh agama perlu menegur sebarang perbuatan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertentangan dengan Islam seperti mendoakan orang Islam lain ditimpa musibah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, sebagai seorang yang digelar Mursyidul Am dan berpengetahuan luas dalam agama, Menteri Besar Kelantan itu tidak sepatutnya bertindak atau berkelakuan tidak mencerminkan sifatnya sebagai seorang Islam.

"Saya pasti di kalangan pemimpin Pas ada ramai tokoh agama.

"Kalau Mursyidul Am Pas telah nyatakan hal sebegitu (doa), sepatutnya pemimpin mereka yang dikatakan pakar agama dan ulama menegurnya kerana ini perbuatan yang tidak langsung mencerminkan cara Islam sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-65 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.

Sebuah laman web melaporkan, Nik Abdul Aziz ketika berucap pada perhimpunan sempena kuliah mingguannya di Kota Bharu mendoakan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan agar 'pecah perut'.

Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta orang ramai berdoa bagi memperbetulkan pemikiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi royalti minyak dan sekiranya tidak, mendoakan supaya Allah memusnahkan Perdana Menteri, UMNO dan proksi-proksinya.

Menurut Muhyiddin, beliau sendiri terperanjat dengan perbuatan Nik Abdul Aziz itu kerana ia bukan pertama kali berlaku.

"Saya tak tau apa nak kata... 'apo nak dikato', sebab bukan pertama kali, sudah berulang-ulang kali.

"Ini bermakna tentu dibuat semasa dia (Nik Abdul Aziz) sedar. Kalau buat masa tak sedar, lain cerita," ujarnya. - Utusan

* Tok Guru doa 'pecah perut' untuk musuh Islam sahaja.

No comments:

Post a Comment