KOTA BHARU 27 Nov. - Nama 'Kolonel Mat' yang disebutkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai dalang dalam konspirasi untuk menjatuhkannya hanyalah satu kiasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Fatah Harun yang juga besan dan mempunyai hubungan rapat dengan Nik Abdul Aziz berkata, daripada ucapan tersebut, Mursyidul Am Pas itu tidak menolak atau mengakui bahawa konspirasi tersebut benar-benar wujud.
Katanya, ia sengaja dilemparkan kepada orang ramai supaya ia tidak dipersoalkan lagi sama ada wujud atau tidak perancangan untuk menjatuhkannya.
"Tok guru (Nik Abdul Aziz) banyak ilmu mantik...banyak perbandingan kalau tak belajar tak boleh baca maksud dia, simbolik saja tu...lagi pun orang Kelantan banyak simbolik.
"Sebagai contoh, kita malas hendak dengar orang yang cakap banyak, orang Kelantan akan kata, mu gi ghoyat dekat Che Pa (awak pergi beri tahu Che Pa). Sebenarnya, tidak siapa tahu siapa Che Pa tetapi ia hanya alasan untuk mengelak daripada terus mendengar orang itu bercakap.
"Begitu juga dengan tok guru, dia tidak mahu dengar orang bercakap pasal jatuh menjatuh ini sebab itu dia sebut Kolonel Mat nak jatuhkan dia, maksudnya lepas ini dia tidak mahu orang tanya lagi pasal itu, sebab itu awak (wartawan) jumpa tok guru pagi tadi, beliau tidak ulas lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujudnya konspirasi yang didalangi 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dan Kerajaan Pas Kelantan.
Dakwaan tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Majlis Penghayatan Hari Wukuf di Pusat Tarbiyah Islmiah Kelantan (Putik) di sini semalam tetapi ketika ditemui pemberita di rumahnya pagi ini, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut dan menjelaskan ia sahih.
Fatah yang turut hadir pada majlis tersebut dan mendengar ucapan itu berkata, beliau tidak percaya ada orang dalam parti itu ingin menjatuhkan pemimpin kanan mereka tetapi tidak menolak kemungkinan wujud konspirasi untuk menjatuhkan orang-orang kanan Nik Abdul Aziz.
"Tidak mungkin ada orang hendak jatuhkan tok guru tetapi kalau ada orang nak jatuhkan orang kanannya mungkin ada, biasalah dalam politik tidak mesti sehati sejiwa semuanya.
"Kalau pun benar wujud konspirasi nak jatuhkan orang kanan Nik Aziz, saya minta jangan dedahkan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti," katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, beliau tidak pernah mendengar nama 'Kolonel Mat' seperti yang disebutkan itu.
"Ini kali pertama saya dengar, saya tidak tahu wujud atau tidak orang ini," katanya.-utusan
No comments:
Post a Comment