SIJANGKANG, 28 Nov: Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).
Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.
"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.
Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.
Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).
"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).
Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.
Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.
Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.
Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."
"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.
"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."
Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.
ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang). - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment