28 November 2009

'Konspirasi jatuhkan saya'

KOTA BHARU 27 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, konspirasi untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan dalam Pas sudah lama dilakukan oleh pihak tertentu.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas percaya, seorang bekas pegawai tentera terbabit di sebalik konspirasi tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan dalang di sebalik konspirasi tersebut tetapi hanya menamakan seseorang yang hanya dikenali sebagai 'Kolonel Mat'.

"Usaha ini bukan baru, usaha selama-lamanya. Kita parti serupa berniaga...buka kedai A hendak jatuh kedai B dan kedai B hendak jatuh kedai A.

"Saya bawa parti Islam, kita ada Ibrahim Libya, kena bunuh dan masa 13 Mei dulu ramai tok guru kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ini cerita lama. Saya sebut nama semalam (Kolonel Mat) pasal ini barang sah dan sahih," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai polemik yang timbul termasuk isu siapa bakal penggantinya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai dakwaannya semalam bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dan daripada kerajaan Pas Kelantan.

Dakwaan tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Majlis Penghayatan Hari Wukuf di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini semalam.

Sebelum ini, timbul pelbagai polemik dalam Pas Kelantan bermula dengan isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diikuti dakwaan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa bahawa wujud konspirasi untuk melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

Beberapa hari selepas itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula meminta Nik Abdul Aziz menamakan bakal penggantinya agar tidak timbul kekalutan dalam kerajaan negeri terbabit.

Pada masa yang sama, anak kepada Nik Abdul Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat meminta supaya tidak ada pihak yang menyekat bapanya daripada meletakkan jawatan.

Kenyataan Nik Abduh itu dilihat sebagai menyerang balas pihak tertentu yang dikatakan sengaja menggunakan media arus perdana untuk mendapat pengiktirafan daripada Nik Abdul Aziz bagi meraih sokongan ahli Pas.- Utusan

No comments:

Post a Comment