20 November 2009

Bila Najib Dan Anwar Minum Teh Bersama!

GAMBAR menunjukkan Anwar Ibrahim menghirup teh tarik bersama Najib Razak dalam keadaan santai di Parlimen seperti mana yang dipaparkan oleh media cetak dan internet hari ini memberi seribu makna. Kata orang, gambar boleh menceritakan berbagai maksud yang tidak terungkap dengan kata dan bicara.

Gambar juga lebih berbisa daripada tulisan dan catatan. Tasfirlah gambar berkenaan mengikut kemampuan minda dan akal siasah anda! Dan kalau ada punyai minda siasah yang cekap dan seni tafsirlah dengan perbendaharaan politik yang bijak laksana dan mengandungi sejuta teori dan kemungkinan.

Bagi saya gambar itu tidak saja-saja dipaparkan, dan tidak juga saja-saja untuk Anwar dan Najib duduk begitu. Saya memahami hati naluri, dan bagaiman peranan Editor di sesebuah akhbar yang menyiarkan gambar berkenaan. Yang jelasnya gambar itu tidak ‘haram’ kerana itu ia disiarkan. Dalam dunia surat khabar ada gambar yang ‘haram’ dan ‘halal’ walaupun realitinya ia adalah semua halal. Atas nama kebebasan apa juga gambar boleh dirakam dan disiarkan. Faham elok-elok.

Saya suka melihat sesuatu yang baik dan ceria. Sebelum berbicara lanjut, saya ingin memalingkan pandangan ini kepada pengkritik kecil yang berbuak-buak dengan beremosi dan sentimen kedirian. Macam mana kalau duduk dengan Najib bertemankan Nazri Aziz itu, bukan Anwar tetapi Abdul Hadi Awang atau Nasharuddin Mat Isa? Apakah persepsi anda secara jujurnya? Tentu kini sudah menjadi riuh rendah. Sudah ada orang yang tidak kena duduk dan gelisah memanjang, macam cacing kepanasan.

Mungkin sudah ada orang yang meloncat di Kota Bharu dan di Shah Alam. Atau pun di Pokok Sena Kedah. Tetapi sehingga jam 11:37 minit pagi ini belum ada apa-apa loncatan di mana-mana yang dilakukan oleh mana-mana individu. Nampaknya semua berkenan dan ‘bergumbira’ dengan aksi dua pemain politik yang bersahabat itu.

Bagi saya pameran gambar itu ada apa-apa. Ada motif dan tujuannya. Dan apa-apa itu adalah bagus sekali. Syabas dan syukur saya lafazkan atas apa yang berlaku. Harapnya Dr Mahathir Mohamad jangan memberi komen negatif dan cuba menganggu keenakan mereka minum teh tarik itu.

Ingat, sebelum Anwar sudi atau rela untuk duduk dengan Najib dan dipotretkan, beliau sudah duduk semeja dengan Muhyiddin Yassin di majlis makan tengah hari, juga di parlimen. Kenapa di parlimen? Dan bila mereka makan tengah hari ertinya pertemuan Anwar dengan Muhyiddin itu lebih ‘berkomersil’ daripada pertemuan Najib. Dengan Muhyiddin makan nasi dengan Najib hanya minum teh.

Apakah kopi atau teh tarik itu menunjukkan semuanya sudah selesai? Ghalibnya dalam budaya orang Melayu, tetamu akan mula menghirup kopi dan menjamah kueh mueh dan hidangan selepas segala-galanya selesai. Kalau datang untuk menyatakan hajat, hajat sudah pun tersebut, pesan sudah pun terturut, barulah makan dan minum? Begitukah? Anwar dan Najib mula mengingati budaya Melayu? Barang kali mereka masing-masing sudah insaf dan sedar, bahawa tidak ada gunannya kalau sama-sama membelakangkan budaya dan adat Melayu. Elok mengemas simpul sebelum tali terputus!

Barang kali pertemuan itu tidak ada apa-apa maksud sebaliknya? Kerana itu ianya dibuat secara terbuka. Tetapi bukankah keterbukaan itu untuk melindungi yang tertutup dan sulit? Dalam hal ini adalah baik bagi kita semua menerima dan menganggap pertemuan itu berniat baik untuk semua dan akan membuahkan sesuatu yang baik untuk semua orang dalam negara ini.

Bukankah kita semua siang dan malam berdoa untuk mencari kebaikan bersama? - MsoMelayu

* Setakat minum teh. Makan bersuap tu lainlah.

No comments:

Post a Comment