20 November 2009

Mahkamah mahu bekas inspektor polis wanita dibicara semula

SHAH ALAM 20 Nov. — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan supaya kes seorang bekas inspektor polis wanita yang didakwa bersetuju menerima rasuah RM1,000 daripada seorang wanita sebagai upah untuk tidak meneruskan kes perbicaraan rogol membabitkan abang tiri wanita itu, dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen Ampang.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu setelah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Noradidah Ahmad, yang mengendalikan perbicaraan kes itu gagal memanggil semula tiga saksi pendakwaan selepas pertuduhan terhadap Jamilah Mohamad, 37, dipinda.

Mohd Zaki bagaimanapun mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 terhadap Jamilah yang menghadapi satu lagi tuduhan meminta rasuah RM2,000 daripada wanita yang sama.

Bagi tuduhan itu, beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Ampang tidak melakukan kesilapan atau perkara yang tidak betul semasa menjatuhkan hukuman itu.

Mohd Zaki bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai dan membenarkan tertuduh membayar denda secara ansuran iaitu RM5,000 pada 1 Dis depan dan selebihnya dibayar pada 17 Dis. - Bernama

No comments:

Post a Comment