21 November 2009

Anwar tidak mampu berdepan Nallakarupan di mahkamah

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mampu berdepan dengan bekas rakan baiknya, Datuk S. Nallakarupan di mahkamah dalam isu menerima duit RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Nor berkata, sehubungan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut menggunakan peguam untuk meminta bukti bagi melengah-lengahkan perjalanan kes .

Katanya, ini taktik biasa Anwar dengan memanipulasikan setiap ruang teknikal yang boleh memberi keuntungan kepadanya.

"Ini bukan untuk cari kebenaran tapi taktik nak lari daripada Nallakaruppan.

"Saya pelik kerana dia penasihat PKR yang kononnya berjuang mencari keadilan tapi dia sendiri yang cuba melengah-lengahkan keadilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nallakarupan membekalkan butiran terperinci berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd. (Magnum).

Antara butiran yang perlu diserahkan dalam masa 14 hari itu ialah tarikh transaksi RM60 juta dibuat, siapa yang memberikannya dan tempat duit itu diserahkan.

Sementara itu, Ezam mendakwa tindakan Anwar menyaman Nallakrupan juga bukan untuk mencari kebenaran sebaliknya untuk mengelak daripada bersemuka secara politik.

Katanya, dakwaan Nallakarupan itu satu cabaran berbentuk politik dan Anwar juga wajar menjawabnya melalui saluran yang sama.

"Bagi kita Nallakarupan membuat satu cabaran politik, kenapa nak dialihkan kepada pertarungan undang-undang, adakah dia tidak berani bersemuka?

"Anwar tidak mahu jawab sebab dia tahu Nallakarupan akan lawan habis-habisan, dari segi politik dia tahu banyak mengenai Anwar, Azizah (Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan Azmin (Naib Presiden PKR, Azmin Ali)," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum menyaman Nallakaruppan, Anwar satu ketika dahulu telah menyaman bekas Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar kerana membuat kenyataan politik bahawa negara akan huru hara jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Seperti kebiasaan, kata Ezam, kes itu belum ada perkembangan dan beliau percaya saman Anwar terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman juga akan dilengah-lengahkan.-Utusan

* Serah sahajalah butiran itu. Mengapa Ezam takut sangat?

No comments:

Post a Comment