21 November 2009

Agihan pendapatan ASN3 5.50 sen seunit

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Nasional Imbang atau ASN3 sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir pada 30 November 2009.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan itu membabitkan peruntukan pembayaran berjumlah RM6.92 juta.

Sehingga 19 November lalu, nilai aset bersih (NAB) ASN3 adalah RM1.0729 seunit.

Katanya, kadar hasil agihan yang diperoleh para pemegang unit berdasarkan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen itu adalah sebanyak 5.40 peratus dan pulangan harga ASN3 bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 16.44 peratus.

Oleh itu, berdasarkan kenaikan NAB ASN3 daripada RM0.8742 seunit kepada RM1.0729 seunit, jumlah pulangan yang dicatatkan oleh dana amanah ini adalah sebanyak 22.73 peratus.

''Dengan prestasi ini, ASN3 telah mencapai objektif pelaburan seperti yang terkandung dalam Prospektus Induk,'' kata beliau dalam sidang akhbar untuk mengumumkan prestasi ASN3 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Sarji, sehingga 19 November lalu, ASN3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM7.94 juta, naik 13.27 peratus berbanding RM7.01 juta yang dicatat pada tahun kewangan lalu.

Pendapatan dividen menyumbang RM2.17 juta atau 27.33 peratus manakala pendapatan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM3.9 juta atau 49.24 peratus.

Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.86 juta atau 23.43 peratus daripada pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan agihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2009 iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN3. Jumlah agihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik berdasarkan NAB pada 30 November ini.

Bagi pemegang unit yang melanggan ASN3 melalui Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman pula berkata, berdasarkan prestasi ASN3, PNB berkemampuan memberikan agihan pendapatan sebanyak 12.1 sen tetapi membawa 6.6 sen ke hadapan.

''Prestasi agihan pendapatan ini setanding dengan pasaran,'' katanya.

Para pemegang unit ASN3 boleh mula mengemaskini buku pelaburan ASN3 masing-masing di ibu pejabat atau pejabat-pejabat ejen Amanah Saham Nasional Bhd. mulai 1 Disember ini.

Sehingga 19 November lalu, sejumlah 125.5 juta unit ASN3 telah dilanggan melibatkan 11,000 pemegang unit.- Utusan

No comments:

Post a Comment