21 November 2009

200 laman web pro al-Qaeda dikesan

RIYADH 20 Nov. - Bilangan laman web berbahasa Inggeris yang semakin banyak, kini berperanan menyebarkan mesej al-Qaeda kepada golongan Islam di Barat.

Mereka menterjemah laporan yang khutbah yang dahulunya tidak boleh dibaca pembaca Inggeris dan sering memaparkan ulama berkarisma seperti Anwar al-Awlaki, yang telah membalas berpuluh-puluh e-mel dengan pakar sakit jiwa tentera Amerika Syarikat (AS) yang dituduh terlibat dengan insiden tembakan di pangkalan tentera Fort Hood di Texas.

Al-Awlaki yang dilahirkan di AS telah menjadi sumber inspirasi kepada beberapa militan yang ditahan di AS dan Kanada dalam masa beberapa tahun lalu, dengan laman web berasaskan khutbahnya sering dikesan di komputer mereka.

"Isunya adalah anda tidak perlu menjadi sebahagian daripada al-Qaeda secara rasmi untuk menyebarkan pandangan bersifat kebencian dan sempit.

"Jika anda lihat kepada dokumen paling berpengaruh berhubung kes-kes keganasan di negara sendiri, ia bukanlah manual latihan tentang pembuatan bom.

"Dokumen paling berpengaruh adalah laporan yang ditulis penasihat teologi, sesetengah daripadanya bukanlah anggota rasmi al-Qaeda,'' kata Evan Kohlmann, penyiasat kanan di Yayasan Nine Eleven Finding Answers (NEFA) di New York yang menjalankan kajian terhadap militan.

Kebanyakan laman web radikal Islam bukan dikendalikan oleh al-Qaeda, namun mereka menyediakan alat berkuasa itu bagi menimbulkan perasaan simpati terhadap perjuangan jihad atau perang menentang AS, menurut pakar yang mengesan aktiviti tersebut.

Bilangan laman web berbahasa Inggeris yang menyokong al-Qaeda meningkat daripada 30 buah sejak tujuh tahun lalu kepada 200 baru-baru ini, kata Abdulmanam Almushawah, ketua program kerajaan Arab Saudi yang dinamakan Assakeena, yang berperanan menghapuskan laman web militan itu.

Sebagai perbandingan, laman web radikal berbahasa Arab jatuh kepada kira-kira 50 sahaja berbanding 1,000 tujuh tahun lalu ekoran usaha kerajaan di seluruh dunia yang menghapuskannya.

Al-Qaeda telah lama berusaha untuk menarik perhatian pengikutnya di Barat. Mesej rakaman video daripada pemimpinnya, Osama Ladendan timbalannya, Ayman al-Zawahri, biasanya disertakan dengan sari kata bahasa Inggeris. - AP

No comments:

Post a Comment