12 October 2009

Zambry yakin pembangkang hadir sidang DUN

IPOH 12 Okt. — Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau yakin Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada kalangan pembangkang akan menghadiri persidangan dewan itu yang akan diadakan tidak lama lagi bagi pembentangan Bajet 2010.

Menurutnya, pakatan pembangkang sedang berusaha menjustifikasi kehadiran mereka dengan menyatakan akan hadir jika bekas Speaker V. Sivakumar yang mengeluarkan notis mesyuarat dan bukan notis daripada Speaker Datuk R. Ganesan.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga ADUN Sitiawan semalam menyatakan Adun pembangkang akan menghadiri sidang kecuali jika notis dikeluarkan oleh Sivakumar.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Zambry berkata kenyataan itu dibuat kerana pembangkang terpaksa menanggung malu kerana sebelum ini pernah mengumumkan akan memboikot sidang.

"Mereka kini hendak mencari jalan untuk justifikasi kehadiran...dulu cakap tak mahu hadir, kini hendak hadir jika Sivakumar yang keluarkan notis. (Selepas ini) mereka akan sebut kami datang kerana dipanggil oleh Sivakumar,” katanya mengulas kenyataan Ngeh.-Bernama

No comments:

Post a Comment