Penduduk haram tanah negeri atau mereka yang mendakwa taraf tanah Hak Adat Pribumi (NCR) akan diusir, kata Menteri Perancangan dan Sumber Asli kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata undang-undang negeri sebelum 1 Jan, 1958 hanya mengiktiraf "Temuda" (tanah hutan yang dibersihkan untuk dijadikan tempat pertanian dan diduduki oleh kaum pribumi) sebagai tanah NCR.
"Hanya tanah temuda diiktiraf sebagai tanah yang telah diterima oleh mahkamah kita dan oleh pelbagai masyarakat pribumi sebelum 1958," katanya berucap pada Seminar Tanah NCR selama dua hari untuk kakitangan awam dari Bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah di Sibu hari ini.
Sistem undang-undang masyarakat Iban atau "tusun tunggu" diluluskan oleh pemimpin Iban pada 1951 juga memberikan definisi sebenar tanah NCR, katanya.
"Definisi kerajaan mengenai tanah NCR termaktub dalam undang-undang yang dikuatkuasakan sebelum 1 Jan, 1958, selepas tarikh ini, tanah NCR tidak boleh diwujudkan dengan permit yang dikeluarkan oleh superintenden tanah dan Jabatan Ukur," jelasnya.
Awang Tengah berkata terdapat sedikit kekeliruan mengenai definisi itu kebelakangan ini yang dibuat oleh setengah pihak dengan agenda mereka sendiri.
Sesetengah NGO dan ahli politik telah menyulitkan kekeliruan untuk mengecewakan atau melambatkan program pembangunan untuk pemilik tanah, katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sangat komited untuk membangunkan tanah seperti itu atas dasar pelaburan bersama dengan pelabur swasta bagi membasmi kemiskinan luar bandar.
Sarawak mempunyai kira-kira 1.5 juta daripada 12.4 juta hektar tanah NCR yang kebanyakan di empat bahagian itu.
Menurutnya, sebarang pertikaian berkaitan tanah itu hendaklah ditangani melalui Mahkamah Sivil atau Mahkamah Pribumi dan bukan pemilik berdemonstrasi, menghalang atau mengugut mereka yang datang untuk membuat kerja-kerja ukur. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment