
Bunyi tembakan terus kedengaran di akademi polis elit di Lahore, ibu negeri Punjab, dengan dua anggota pasukan keselamatan maut.
Serangan di Lahore, berdekatan sempadan India, dan insiden bom kereta di Kohat, barat laut Pakistan ini berlaku menjelang serangan pihak tentera ke atas kubu Taliban di Waziristan Selatan yang terletak di sempadan dengan Afghanistan.
Keganasan yang berlaku beberapa hari selepas serangan berani ke atas sebuah pangkalan tentera di Rawalpindi, menunjukkan risiko aktiviti militan di Punjab, wilayah ekonomi penting negara dan kerusi kuasa Pakistan secara tradisi.
"Mulanya wilayah NWFP menjadi barisan depan pertempuran, kini mereka bermain di Punjab pula," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kepada pemberita.
Pakistan yang mempunyai senjata nuklear berdepan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menangani masalah militan ketika Presiden Barack Obama sedang mempertimbangkan untuk menambah bilangan askar di Afghanistan.
Tujuh terbunuh apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang ibu pejabat Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) di Lahore.
Bangunan sama pernah diserang menggunakan bom kereta yang membunuh 21 orang.
Kumpulan bersenjata turut menyerang dua pusat latihan polis di Lahore.
Tidak lama sebelum serangan di Lahore, serangan bom kereta berlaku di Kohat menyebabkan 10 terbunuh. - REUTERS
No comments:
Post a Comment