BEIJING 15 Okt. - China hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga lagi defenden atas tuduhan melakukan pembunuhan semasa rusuhan di barat wilayah Xinjiang pada Julai lalu.
Keputusan itu menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijatuhkan hukuman mati berhubung rusuhan tersebut kini berjumlah sembilan orang.
Hampir 200 orang terbunuh ketika tercetusnya rusuhan di ibu kota Urumqi, apabila penduduk Uighur Islam menyerang masyarakat kumpulan dominan etnik Han menyebabkan berlakunya rusuhan kaum terburuk dalam tempoh sedekad di China.
Agensi berita Xinhua melaporkan, tiga defenden telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rakyat Urumqi manakala tiga lagi dijatuhkan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun - hukuman yang biasanya diringankan kepada penjara seumur hidup.
Menurut Xinhua, seorang daripada mereka yang dijatuhkan hukuman itu adalah lelaki daripada etnik Han berdasarkan namanya, Han Junbo kerana didapati bersalah memukul lelaki Uighur sehingga mati.
Defenden yang lainnya adalah etnik Uighur kecuali seorang defenden yang dijatuhkan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun kerana namanya tidak terdapat dalam laporan.
Sementara itu, lima lagi yang lain dijatuhkan hukuman penjara.
Pada Isnin lalu, Mahkamah ini turut menjatuhkan hukuman mati ke atas enam etnik Uighur iaitu hukuman pertama yang dijatuhkan dalam perbicaraan suspek yang ditahan ketika atau selepas rusuhan berlaku.
Rusuhan berdarah ini berlaku pada 5 Julai lalu selepas polis cuba mematahkan bantahan oleh pemuda Uighur yang meminta penyiasatan ke atas pergaduhan yang menyebabkan kematian antara pekerja Han dengan Uighur di kilang permainan di selatan China.
Pemimpin Uighur yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer menganggap keputusan mahkamah menjatuhkan itu hanya akan memarakkan lagi kemarahan kaum itu. - AP
No comments:
Post a Comment