PORT DICKSON 3 Okt. — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bagan Pinang 11 Oktober ini supaya saling hormat menghormati sepanjang tempoh berkempen.
“Masa kempen janganlah keluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak yang lain....mereka kenal satu yang lain. Masa kempen itu juga jangan burukkan peribadi, memalukan seseorang, menjatuhkan maruah orang.....tak elok dan saya harap perkara itu tidak terus dibawa semasa hari pengundian.
“Saya harap pemimpin parti berkenaan, ingatkan pengikut masing-masing... jangan sampai hilang ingatan, jangan terlalu emosinal. Kita mesti berfikir secara rasional,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini.
Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd. Isa Samad berdepan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lepas.-Bernama
No comments:
Post a Comment