28 October 2009

Harga petrol tanpa subsidi tahun depan

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bermula tahun hadapan, seluruh penduduk termasuk pelancong asing perlu membayar harga petrol pada harga sebenar tanpa subsidi kecuali kumpulan sasar yang berpendapatan rendah sahaja.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kajian mekanisme pelaksanaannya yang telah memasuki peringkat akhir itu akan diumumkan antara suku pertama dan kedua tahun hadapan.

Menurut beliau, kerajaan perlu melakukannya memandangkan sistem subsidi petroleum sedia ada tidak adil, telus dan gagal memanfaatkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

“Kajian sedang dibuat dan akan diumumkan kelak, sistem baru ini akan lebih menguntungkan rakyat kerana sistem lama telah menyebabkan objektif utama subsidi untuk membantu rakyat telah tersasar jauh hingga menyebabkan produktiviti ekonomi kita juga terjejas.

“Sistem subsidi sepatutnya hanya untuk kumpulan sasar iaitu rakyat berpendapatan rendah tetapi dalam sistem lama ini semua orang mendapatnya termasuk rakyat Singapura, Thailand, pelancong dan golongan berpendapatan tinggi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2009 anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kesatuan Pegawai-Pegawai Hasil Dalam Negeri (IROU) di sini hari ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment