28 October 2009

Kerajaan ucap takziah kepada keluarga Mantik Hani

KUALA LUMPUR 27 Okt. — Kerajaan Malaysia hari ini merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Mantik Hani, seorang pembantu rumah rakyat Indonesia yang meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera majikannya baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa polis akan segera melakukan siasatan berkaitan mana-mana kes penderaan pekerja agar pelaku jenayah dijatuhkan hukuman setimpal.

"Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja tanpa mengira kewarganegaraan ataupun sektor pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mantik, 36, mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, selepas dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas.

Pengarah hospital, Dr. Ghazali Hasni Md Hassan berkata, mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar.

Majikan lelaki pembantu rumah itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah terbabit ditemui dan dia direman sehingga esok manakala isterinya direman sehingga hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment