"Semoga umur saya panjang untuk menempuh hari-hari mendatang dan menghadapi pertempuran baru," tulis Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dipecat daripada MCA, dalam blognya.
Kata-katanya menamatkan tulisan bekas timbalan presiden MCA itu dalam blognya hari ini ketika mengulas tindakan mengejut partinya lewat malam tadi.
Keputusan itu diambil oleh Majlis Presiden MCA susulan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin parti atas dakwaan mencemarkan reputasi parti selepas skandal seksnya.
Pemecatan Dr Chua dibuat selepas beliau berjaya menapak kembali dan memenangi pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Oktober lalu.
"Saya tidak sangka bahawa lembaga disiplin MCA, yang diketuai oleh seorang peguam tua, menganggapnya wajar untuk mengesyorkan supaya saya dipecat atas alasan yang sama ketika saya meletak jawatan pada Januari 2008," katanya.
"Jika ada satu peruntukan untuk menjatuhkan hukuman mati di segi fizikalnya, saya pasti lembaga itu tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan saya diseret ke tali gantung."
Walaupun ramai yang melihat keputusan ini sebagai petanda berakhirnya karier politik Dr Chua, namun beliau tidak patah semangat.
"Anggota keluarga dan rakan-rakan saya akan pergi bercuti sekejap. Saya perlu menikmati status 'tidak berparti' ini.
"Jadi rakan-rakan memberi saya satu peluang untuk berehat," katanya lagi.
Mengimbau kembali saat-saat beliau mula menganggotai MCA pada 1985 sehingga melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2008, Dr Chua berkata, keadaannya kini jauh lebih teruk daripada sebelumnya.
"Hari ini, saya tidak ada parti. Apabila saya melepaskan semua jawatan parti (ketika itu), saya masih lagi ahli MCA. Hari ini, saya langsung tidak ada parti," katanya.
"Tetapi apakah pemecatan saya akan meningkatkan imej MCA? Saya harus mengandaikan bahawa presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat) sebersih dan seputeh kristal."
Dr Chua, yang selama ini memang tidak sehaluan dengan presiden MCA, kemudian segera menambah: "Hanya masa yang akan menentukannya."
Ong, yang juga menteri pengangkutan, kini berdepan dengan tuduhan bahawa beliau mengambil wang RM10 juta Datuk Seri Tiong King Sing, pemegang saham utama Kuala Dimensi Sdn Bhd yang kontraktor utama projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).
Sejak dipecat tengah malam tadi, Dr Chua berkata beliau kini sibuk membaca SMS yang tidak putus-putus diterimanya sejak semalam.
Tulisan Dr Chua itu membayangkan keputusan tersebut bukanlah jalan mati untuknya. - Malaysiakini
* Satu jalan lain ialah Dr Chua masuk PAS, tapi sebelum itu dia kena masuk ...
No comments:
Post a Comment