27 August 2009

Enam bahagian MCA gesa gantung kuasa presiden

Enam bahagian MCA Johor hari ini meminta lembaga disiplin parti itu melucutkan secara sementara kuasa presiden parti yang kini disandang Datuk Seri Ong Tee Keat.

Pelucutan sementara kuasa presiden itu merupakan satu daripada empat permintaan yang dikemukakan kepada lembaga disiplin parti oleh MCA bahagian Pontian, Tanjung Piai, Tebrau, Gelang Patah, Kota Tinggi dan Pulai.

"Keenam-enam bahagian MCA hari ini sebulat suara bersetuju meminta lembaga disiplin parti melaksanakan empat permintaan pihak kami," kata Pengerusi MCA Kota Tinggi Ng Keng Heng pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Tiga permintaan yang lain, menurutnya, adalah meminta lembaga disiplin MCA menyiasat tuduhan derma RM10 juta kepada MCA oleh pemegang saham utama Kuala Dimensi Sdn Bdn (KDSB) Datuk Tiong King Sing.

Keenam-enam bahagian MCA itu kata Ng, juga mahukan lembaga terbabit menyiasat tuduhan presiden parti tentang usaha pengumpulan dana sebanyak RM100 juta bagi membiayai usaha menjatuhkannya.

Akhir sekali katanya, mereka meminta lembaga disiplin parti mengkaji semula keputusan yang mereka buat semalam untuk memecat keanggotaan timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, pertikaian di antara Ong dan Tiong merupakan soal peribadi di antara mereka berdua dan tidak membabitkan MCA serta anggotanya secara keseluruhan.

"Tindakan beliau (Ong Tee Keat) mengheret sama MCA di dalam pertikaiannya dengan Tiong telah mencemar nama baik dan imej parti di kalangan masyarakat negara ini," katanya.

Pengerusi MCA Pontian Datuk Tee Siew Kong pula berkata, tindakan memecat timbalan presiden parti semalam dianggap seperti mempermain-mainkan kewibawaan para perwakilan MCA yang telah memilih Dr Chua ke jawatan itu.

"Dr Chua telah dipilih oleh 1,115 perwakilan pada perhimpunan agung parti yang lepas untuk memegang jawatan timbalan presiden MCA.

"Tindakan lembaga disiplin yang dianggotai hanya beberapa ahli untuk memecatnya adalah tidak wajar dan seperti mempermainkan perwakilan," katanya.

Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh pula berkata, pihaknya menyokong segala usaha untuk memulihkan parti termasuk kemungkinan diadakan mesyuarat agung luar biasa parti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment