KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang cuba mengejar seorang lelaki yang menyamun rumah mereka menghadapi detik mencemaskan apabila penjenayah itu bertindak ganas melibas sebilah parang beberapa kali ke arah mereka di Taman City, Jalan Kuching di sini, kelmarin.
Pasangan berusia 40-an itu yang mahu mencekup penjenayah terbabit dikatakan mengejar suspek yang melarikan diri menggunakan kereta Proton Waja tetapi terpaksa berhenti disebabkan khuatir akan keselamatan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, pasangan itu baru pulang ke rumah sebelum terserempak penyamun yang sedang memanjat keluar tembok rumah mereka.
Menurut sumber, sebelum itu, pasangan suami isteri terbabit yang bekerja sendiri meninggalkan rumah pada pagi hari kejadian.
“Ketika pulang ke rumah, mereka ternampak kelibat seorang lelaki yang menyandang beg dalam keadaan mencurigakan sedang memanjat keluar tembok rumah mereka.
“Tanpa membuang masa, pasangan yang mengesyaki lelaki itu pencuri mengejar penyamun berkenaan menaiki kereta,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, beberapa minit kemudian, suspek yang menyedari dirinya diekori sebuah kenderaan kemudian menoleh ke arah pasangan itu sambil menunjukkan parang.
“Penjenayah turut mengherdik, ‘kau nampak ni? (parang)’, sambil melibas parang berkali-kali ke arah pasangan itu,” katanya.
Pasangan suami isteri itu yang ketakutan selepas diugut suspek terpaksa berhenti mengejar lelaki terbabit.
Sumber itu berkata, kedua-dua mangsa melihat penjenayah menaiki kereta Proton Waja yang dipandu seorang lagi rakannya yang menunggu tidak jauh dari situ.
Pasangan itu kemudian embali ke rumah dan mendapati barang berharga termasuk telefon bimbit, barang kemas dan wang dilarikan.
“Mangsa yang kerugian dianggarkan berjumlah RM3,000 membuat laporan polis,” katanya.
Difahamkan, mangsa juga sempat mencatat nombor pendaftaran kereta dinaiki penjenayah itu, namun palsu selepas diperiksa.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728 bagi membantu siasatan. - Mymetro
* Kerajaan UmnoBN gagal benteras jenayah.
No comments:
Post a Comment