SHAH ALAM: Kumpulan penjenayah Geng Roy yang bergiat aktif dalam kegiatan samun rumah mewah di sekitar bandar raya ini akhirnya tersungkur apabila dua anggotanya ditembak mati berhampiran kawasan hutan di Jalan Merak Kesuma, Seksyen U9, Kayangan Heights di sini, awal pagi malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, kedua-dua penjenayah warga Indonesia dikenali sebagai Roy dan Andre ditembak mati sepasukan polis Unit Tindakan Cepat, kira-kira 50 meter dari tempat persembunyian mereka dalam hutan itu.
Sebelum kejadian, kedua-dua penjenayah dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah dan samun sebuah rumah mewah di Bukit Kemuning, dekat sini, kelmarin yang menyebabkan kematian pemilik rumah berkenaan, seorang warga emas berusia 70 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata sejurus kejadian samun di rumah pasangan warga emas itu, sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, menjejaki anggota kumpulan terbabit.
Menurutnya, usaha menjejaki geng terbabit berhasil apabila polis mengesan dua daripada mereka sebelum berusaha memberkasnya.
“Bagaimanapun, ketika usaha mengepung dan meminta mereka menyerah diri, suspek menyerang polis menggunakan parang menyebabkan kami terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan empat das tembakan mengenai suspek.
“Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian dan pemeriksaan di kawasan itu menemui pondok yang diperbuat daripada kanvas di atas bukit tidak jauh dari lokasi mereka ditembak mati.
“Turut ditemui di pondok itu, beberapa alat untuk memecah rumah seperti pemotong besi, kuku kambing, dua bilah parang dan beberapa barangan lain seperti lilin dan lampu suluh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan dan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin.
Polis yakin kumpulan itu terbabit enam kes samun membabitkan kediaman mewah di sekitar Shah Alam.
Mengulas lanjut kejadian samun membabitkan pasangan warga emas di Kota Kemuning, Khalid berkata kerugian dianggarkan berjumlah RM500,000.
Malah, katanya, penjenayah terdiri daripada beberapa lelaki warga asing berusia 30-an bermaharajela dengan menyelongkar hampir keseluruhan rumah berkenaan dari jam 10 malam hingga 3 pagi sebelum melarikan pelbagai barang berharga milik pasangan yang juga pemilik syarikat barangan kitar semula.
“Bagaimanapun mangsa, lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas mulut ditutup kain manakala isterinya berusia 69 tahun tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya yang menambah mangsa mengalami masalah jantung kronik.
Difahamkan, sejurus melepaskan ikatan tangan, isteri mangsa bergegas keluar meminta tolong daripada pengawal keselamatan di pondok yang terletak kurang 50 meter sebelum menghubungi anaknya yang tinggal di perumahan sama dan menghubungi polis.
Bagaimanapun, ketika mereka mendapatkan mangsa, dia sudah tidak sedarkan diri.
Berikutan kejadian itu, polis sedang menjejaki beberapa lagi suspek dipercayai anggota geng terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan. - Mymetro
* Malingsia = Datang Malaysia mahu jadi maling (pencuri)
No comments:
Post a Comment